Tuesday, August 28, 2007



Hukum Solat Dan Puasa Kepada Orang Yang Bekerja Dan Menaiki Kapal Terbang.


Soalan: Apakah hukum menunaikan solat di atas kapal terbang?


Jawapan daripada Mufti Kerajaan Mesir, Prof. Dr. Ali Jum`ah Al-Syafie:


Telah berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama dalam masalah: adakah disyaratkan untuk berada tetap di atas muka bumi di dalam menunaikan solat fardu atau menyamakan hukum menunaikan solat di atas kapal terbang sama seperti menunaikan solat di atas kapal laut?


Sesetengah daripada para ulama mengatakan bahawa hukum menunaikan solat di atas kapal terbang sama seperti solat di atas kapal laut. Berdasarkan pendapat ini maka dibenarkan untuk menunaikan solat di atas kapal terbang bagi mengelakkan waktu solat berlalu begitu sahaja.


Tetapi pendapat yang terkuat digunakan oleh ulama bermazhab syafi’e adalah dengan mengatakan bahawa: tidak terangkat kefardhuan solat bagi sesiapa yang menunaikan solat di atas apal terbang. Jadi menurut pendapat ini, seseorang yang menaiki kapal terbang wajib untuk melaksanakan solat di atas kapal terbang demi untuk menghormati waktu, namun wajib bagi mereka untuk mengulangi semula solat tersebut apabila sudah mendarat. Ini kerana bagi para ulama yang bermazhab Syafi’e, berada tetap di atas muka bumi merupakan syarat sah di dalam menunaikan solat fardu.


Soalan: Apakah hukum solat dan puasa kepada orang yang bekerja dengan syarikat penerbangan?


Jawapan daripada Mufti Kerajaan Mesir, Prof. Dr. Ali Jum`ah Al-Syafie:


Jika seseorang itu tergolong di kalangan yang sering bermusafir melebihi 85 km untuk urusan pekerjaan seperti perniagaan, bekerja dengan syarikat penerbangan dan sebagainya, maka saya dapat ringkaskan hukum yang telah disepakati oleh para ulama kepada beberapa bahagian.


Hukum berkaitan dengan solat:


Dibenarkan bagi mereka untuk melakukan solat jama’ zohor dan asar dan di jama’kan pada waktu zohor. Maka solat ini dinamakan solat jama’ taqdim


atau


dijama’kan pada waktu asar maka dinamakan jama’ taakhir. Begitu juga dibenarkan bagi mereka untuk menjama’kan solat maghrib dan isya.


Dibenarkan juga bagi mereka untuk mengqasarkan (meringkaskan) solat 4 rakaat kepada dua rakaat iaitu solat Zohor, Asar dan Isya’ sahaja. Disyaratkan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan jama’ dan qasar, jarak perjalanannya mestilah melebihi 85 km.


Namun, apabila seseorang itu telah sampai ke tempat yang dituju dan dia telahpun bermukim, maka dia sudah tidak lagi boleh untuk mengqasarkan solat. Oleh itu dia mesti melaksanakan solat berdasarkan rakaat yang asal dan individu tersebut perlu untuk melaksanakan solat pada waktunya tanpa boleh melaksanakan solat secara jama’.


Hukum berkaitan dengan puasa:


Jika puasa tersebut tidak memudaratkan orang yang bermussafir tersebut dan juga tidak membebankan dirinya,maka digalakkan baginya berpuasa dan harus baginya untuk berbuka puasa.


Jika puasa tersebut sedikit memudaratkan dan membebankan kepada orang yang berpuasa maka digalakkan baginya berbuka puasa dan diharuskan berpuasa.


Jika puasa tersebut menyebabkan mudarat dan membebankan (sehingga boleh menyebabkan hilangnya nyawa) maka di wajibkan baginya berbuka puasa dan diharamkan berpuasa.


Apa yang saya maksudkan pada puasa di sini adalah puasa wajib di buklan Ramadhan.Jika seseorang itu meninggalkan puasa pada bulan tersebut maka wajib baginya menqadakan kembali puasa tersebut mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Wallahu a’lam.


Adaptasi daripada fatwa Prof. Dr. Ali Jum`ah dalam kitab beliau, Fatawa `Asriyyah 1/ 33-34

No comments: