Wednesday, August 15, 2007


KITA MERANCANG ALLAH JUGA MERANCANG DENGAN RARI!!!




Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru orang Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada kepimpinan negara hari ini yang disifatkan telah banyak melakukan kerosakan dan yang membiarkan amalan rasuah berleluasa mutakhir ini.

Beliau berkata demikian dalam syarahannya dalam program anjuran Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

"Orang Melayu dia undi Umno tanpa sebab, kalau letak tongkol kayu pun sebagai calon Umno, mereka akan pangkah dan Umno akan menang. Berbeza dengan orang Cina orang Cina ada perkiraan untuk menyokong mana-mana parti," katanya sinis.

"Orang Cina dia buat penilaian, tak semesti ahli MCA akan undi MCA dan tidak semestinya ahli DAP akan undi DAP, begitu juga Gerakan. Itu sebab kita tengok macam di Pulau Pinang, ada kalanya MCA memang, ada kalanya DAP menang dan ada kalanya Gerakan menang kerana orang Cina akan menilai undi untuk agenda mereka," katanya.

"Bila menang besar, pemimpin akan kata ini semua kerana mereka dan mereka akan bermegah dengan kemenangan itu," tegasnya.

"Ini orang akan kata saya buat tuduhan, tetapi saya alami dan saya tahu ia berlaku. Kalau Ketua Bahagiannya nak kata tidak ada, apa boleh buat sebab jika bawa kepada Jawatankuasa Disiplin pun kata tiada, tetapi saya yang lalui saya tahu ia berlaku," tegasnya sinis.

Katanya lagi, hari ini rakyat bimbang untuk keluar rumah memandangkan jenayah pembunuhan yang menjadi-jadi, setelah pembunuh yang sah membunuh bebas setelah mahkamah membebaskan dengan pendakwaan dikatakan gagal menampilkan bukti.

Ini membuatkan keadaan tidak lagi selamat, katanya.


Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir itu Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, yang hadir sama dalam majlis berkenaan, berkata, kenyataan Dr Mahathir itu adalah signal kepada rakyat supaya tidak lagi memberi undi yang banyak kepada Umno/BN.

Ujar Mahfuz, mandat yang besar yang diberi kepada Umno/BN hanya akan membuatkan kerajaan yang ditadbir parti itu meneruskan kesalahan demi kesalahan tanpa sebarang proses 'check and balance' yang berkesan.

Kenyataan Dr Mahathir itu sekali gus mengajak rakyat menolak kepimpinan negara yang ada hari ini yang diselubungi rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru, beliau menyeru rakyat terutamanya orang Melayu terpanggil dengan seruan Dr Mahathir supaya menolak kepimpinan negara yang cukup bermasalah hari ini.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub yang turut hadir sama pula menyifatkan bahawa kenyataan Dr Mahathir jelas membuka ruang kepada rakyat supaya menilai semula kepimpinan negara yang ada hari ini.

Katanya dengan segala kelemahan dan kebobrokan pentadbiran yang dikuasai anak menantu Perdana Menteri, beliau mahu rakyat bersatu menolak kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga menghulur tangan kepada Dr Mahathir atas nama Pemuda PAS untuk memberi kerjasama dalam mempertahankan hak agama, bangsa dan negara yang kini telah dirosakkan oleh kepimpinan negara yang ada hari ini.

No comments: