Tuesday, August 28, 2007


Universiti bagaikan kilang lahirkan robot - Ustaz Idris


KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Hrkh) - AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tidak ada apa yang baru dalam proses pelan strategi dan tindakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila diberi lebih kuasa autonomi dalam beberapa perkara tertentu menerusi proses transformasi dan pembaharuan pengajian tinggi negara.


Katanya, ini kerana PAS beranggapan IPTA bukan berfungsi sebagai universiti yang melahirkan generasi berwawasan dan berwibawa sebaliknya hanya setakat kilang yang menjadikan manusia bersifat robot.


Beliau berkata, kualiti dan kecemerlangan universiti bukan sahaja bergantung pada pencapaian akademik tetapi disertai dengan ketrampilan dan kemahiran berfikir.


Menurut beliau, sepatutnya universiti perlu menjadi medan untuk mempercambahkan idea supaya dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dan kehebatan sesebuah universiti itu.


Beliau yang juga bekas pensyarah UiTM Shah Alam dan Melaka berkata, realiti hari ini universiti sudah menjadi seperti tempat budak-budak tadika yang terpaksa disuap mengikut arahan.


Ini kerana katanya, wujud beberapa akta seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang menyekat kebebasan pelajar dan juga ahli akademik untuk menyuarakan pandangan.
"Akta ini mematikan budaya kritis dan universiti tidak dapat melahirkan generasi seperti pada zaman kehebatannya seperti kehadiran Prof Diraja Ungku Aziz," katanya.


Beliau berkata, apa yang disebut sebagai proses tranformasi untuk mengangkat kecemerlangan akademik negara tidak akan berlaku seandainya beberapa perkara yang menghalang para pelajar dan ahli akademik.


"Universiti sekarang sudah tidak ada debat ekonomi, debat isu semasa yang ahli panel daripada parti politik dan akademik," katanya.


Beliau memaklumkan di UKM sebuah forum Palestin terpaksa dibatalkan.


Katanya, UM pula sudah terkeluar daripada senarai 200 universiti terbaik dunia kerana tidak ada keberanian bersuara di kalangan pelajar, kakitangan dan ahli akademik.


Beliau berkata dengan mengenakan sekatan terhadap universiti, kerajaan Umno/BN dapat mengekalkan kuasa kerana berjaya membendung pelajar IPTA yang merupakan rakyat cerdik dan mempunyai pandangan kritis.

No comments: