Saturday, September 22, 2007



PMRAM Menyelar Tindakan Mengugut Mahasiswa Islam Di Mesir.


Presiden PMRAM, Hairul Nizam Mat Husain menyelar tindakan beberapa pihak yang menakut-menakutkan mahasiswa Islam yang belajar di Mesir yang ingin bersama dan terlibat dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Dalam ucapan penggulungan beliau ketika menyatakan hala tuju PMRAM sesi 2007 dalam Majlis Dialog Perdana PMRAM Dan Motivasi Kecemerlangan Akademik, beliau menegaskan bahawa mahasiswa Islam sepatutnya diberikan kebebasan hak berpersatuan dan berorganisasi.
Menurut beliau, mahasiswa adalah kelompok masyarakat intelektual yang berhak untuk menentukan pendirian mereka yang berpaksikan kepada ilmu dan akademik tanpa perlu golongan intelek ini dibelit dan diikat dengan mana-mana kongkongan politik.


“Kita bukan pelajar sekolah menengah. Kita bukan pelajar sekolah rendah. Kenapa mahasiswa perlu ditakut-takutkan? Kenapa mahasiswa mesti diugut dengan potongan zakat dan pinjaman apabila mereka terlibat dengan PMRAM? Kenapa zakat yang merupakan hak Allah yang wajib diagihkan kepada asnaf yang sepatutnya dijadikan sebagai alat untuk mengancam kebebasan mahasiswa bersuara dan berpersatuan? Saya sebagai Presiden PMRAM tidak akan meredhai tindakan zalim pihak-pihak tertentu yang menjadikan zakat dan pinjaman sebagai alat untuk mengugut dan menyekat para mahasiswa daripada terlibat dengan PMRAM. Saya akan mempersoalkan mereka yang menganjurkan ugutan ini di hadapan Allah kelak di atas tindakan yang bercanggah dengan Islam dan hak kebebasan manusia”, kata beliau dalam majlis tersebut.


Dilema yang menimpa para mahasiswa Islam di Mesir ini terus berlarutan apabila wujud ancaman pemotongan zakat dan biasiswa kepada mana-mana mahasiswa yang terlibat dengan program-program yang dianjurkan oleh PMRAM sehingga para mahasiswa di Mesir takut untuk terlibat dengan PMRAM sekalipun mereka ingin untuk menyertai program-program akademik dan ilmiah yang merupakan agenda utama PMRAM yang mementingkan kebajikan ahli.


Walau bagaimanapun, pihak PMRAM telah mendapat nasihat daripada beberapa pihak guaman di Malaysia agar menubuhkan satu jawatankuasa khusus yang akan mengambil maklumat ahli PMRAM yang dipotong biasiswa dan zakat untuk dibawa ke peringkat undang-undang.


No comments: