Friday, September 21, 2007



Pilihan raya kampus 2007, siswi dikasari ketika bangun qiamullail.

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Setelah selesai teka teki tarikh pilihan raya kampus (PRK), senarionya terus bergolak dengan insiden-insiden tradisi setelah gendang 'pertandingan' dipalu.

Umpama tradisi, menjelang PRK insiden-insiden tersebut mengganggu keharmonian perjalanan rutin kehidupan seseorang mahasiswa di menara gading.

Terbaru, pelajar tahun pertama, Jurusan Sains Gunaan dan Pengajian Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Khalila Bakri ditangkap dan dikasari ketika bangun untuk mengerjakan solat sunat dan qiyamullail.

Beliau yang merupakan penghuni Kolej Kediaman Ke sepuluh disoal siasat oleh Presiden Kolej, Arie Sakina yang terserempak dengannya pada jam 4.30 pagi 12 September lalu.

"Kemudian dia meminta saya mengeluarkan apa yang berada di bawah tudung saya dan di dalam poket seluar saya. Dia menuduh saya mempunyai dan mengedar risalah haram," demikian menurut laporan aduan beliau.

Setelah Khalila diperiksa diri dan gagal menemui apa-apa, dengan tegas Arie mengarahkan Khalila memasuki biliknya, kemudian memanggil dua lagi rakannya untuk menjalankan soal siasat

"Jika saya mendiamkan diri dia telah mengatakan saya tidak beradab. Saya tidak tahan mendengar kata-kata kutukan beliau lalu bertindak untuk keluar daripada bilik tersebut tetapi ditahan oleh dua orang rakannya. Mereka menahan dengan memegang saya serta merentap baju saya sehingga koyak," menurutnya lagi.

Khalila merasakan kekasaran yang dilakukan ini mengganggu fikiran serta mengganggu konsentrasi pembelajaran beliau memandangkan beliau merupakan pelajar tahun pertama di kampus tertua itu.

Sementara itu di kampus yang sama, pelajar tahun ketiga Fakulti Kejuruteraan Pembuatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Mohd Hilman Mohd Nordin telah dirampas barang-barang peribadi, komputer riba dan kamera.

Kejadian tersebut berlaku pada 12.15 tengah malam 5 September, selepas di tahan oleh Pengetua Kolej Kediaman Kedua Prof. Dr. M Rajantheran tanpa diberikan sebab.

Ujarnya, semasa kejadian tersebut berlaku beliau diziarahi oleh rakan beliau, Taufiq, dan secara tiba-tiba Penyelia Kolej iaitu Mahaghanapati mengetuk pintu bilik dan memasuki bilik bersama beberapa orang lagi.

"Kemudian Mahaghanapati telah menghubungi Pengetua Kolej Kediaman Kedua Prof. Dr. M Rajantheran yang tiba sejurus selepas itu. Beliau juga telah memanggil maka wakil Jabatan keselamatan untuk datang ke bilik saya," demikian menurut aduan tersebut.

"Saya ditahan dengan alasan saya telah membawa masuk pelajar luar ke dalam kawasan kolej kediaman.Barang-barang saya juga dirampas iaitu laptop dan camera. Kemudian saya dibawa ke pejabat keselamatan bersama rakan saya Taufiq bagi membuat siasatan lanjutan," menurutnya lagi.

Semasa beliau saya di soal siasat oleh Pegawai Keselamatam, Muzakir pada jam 12.30 tengah malam di pejabat keselamatan, kad pengenalan bersama dan rakannya diambil untuk dibuat salinan.

Hilman turut diminta memberikan kata laluan atau password bagi membuka laptop tetapi beliau enggan, yang menyebabkan pihak keselamatan meminta juruteknik bertindak memecahkan kod laluan bagi membuka laptop tersebut.

"Kemudian rakan-rakan telah datang dan kekecohan telah berlaku. Seterusnya saya telah di soal siasat berasingan," jelas laporan tersebut.

Beliau menyatakan bahawa penahanan tersebut adalah tidak berasas berdasarkan Perkara 28 (1) Bahagian III Tatatertib Asrama yang di nyatakan dalam Buku Panduan Mahasiswa “Tiada seorang pun boleh memasuki sesuatu bilik di dalam asrama yang diduduki oleh seseorang pelajar menetap kecuali pelajar menetap itu sendiri” demikian menurutnya lagi.



No comments: