Tuesday, September 11, 2007



Anak kecil ke tadika gereja, ke mana perginya JAIM!!!?


JASIN, 11 Sept (Hrkh) - Segelintir ibu bapa Islam yang kurang sensitif mengenai persoalan akidah dikesan menghantar anak mereka belajar di tadika yang dikelolakan oleh pihak gereja amat membimbangkan penduduk setempat.


Persoalannya mengapakah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) tidak memantau dan bertindak bagi menyelamatkan akidah kanak-kanak yang berumur antara 5 dan 6 tahun itu? Sedangkan perkara ini didakwa telah berlaku sekian lama.


Menurut Ketua Dewan Ulama PAS Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana anak- anak amat penting dididik dengan persoalan tauhid.


"Usia kecil merupakan tahap usia yang penting kerana apa yang ditanamkan pada ketika ini akan memberi kesan kepada proses pembentukan diri dan peribadi mereka menurut pakar psikologi.


"Islam menekankan kepada ibu bapa agar meletakkan persoalan tauhid anak-anak sebagai perkara asas dalam kehidupan, kita mesti jauhkan mereka dari perkara syirik," ujar beliau.


Beliau berkata, apabila didedahkan kepada mereka perkara syirik sejak usia kecil lagi, ia akan menjadi 'alah bisa tegal biasa' dan akan beri kesan yang buruk kepada mereka apabila besar kelak seterusnya memudahkan berlakunya gejala murtad.


Selanjutnya, beliau menggesa kepada ibu bapa yang kurang sensitif itu agar memberhentikan anak mereka dari tadika tersebut kerana banyak tadika lain yang lebih sesuai seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).


Menurut Ketua Pemuda PAS Jasin, Aminuddin Jalil, bahawa tindakan itu dilakukan akibat dari kejahilan ibu bapa itu sendiri dan tidak peka dengan persoalan akidah Islam.


"Mereka beranggapan dengan menghantar anak mereka ke tadika kelolaan gereja, anak mereka akan pandai berbahasa Inggeris, bagi menyahut seruan kerajaan yang mengarahkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.


"Mereka sebenarnya sanggup mengorbankan akidah anak sendiri, sedangkan banyak lagi Tadika Islam seperti Pasti yang berkemampuan memberikan pendidikan yang terbaik," katanya.


Harakahdaily dalam tinjauan yang dilakukan mendapati, tadika kelolaan Gereja Methodist Merlimau itu terletak di Pekan Merlimau dan ditadbir oleh pihak gereja dan kanak- kanak itu belajar di dalam bangunan gereja.


Melebihi dari 10 orang kanak-kanak Melayu Islam yang dilihat belajar di situ dan dihantar oleh ibu mereka yang memakai tudung setiap hari tanpa sedikit pun berasa bersalah keluar masuk di kawasan gereja.


Sebelah tengahari pula kita boleh lihat ibu-ibu yang bertudung ini duduk bersembang di depan pintu gereja sambil menunggu anak mereka pulang.

No comments: