Tuesday, September 25, 2007

Berikut adalah kertas kerja yang dibentangkan oleh Peguam Tuan Haji Mohamed Hanipa Maidin semasa program Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT). Kertas kerja ini berkisar tentang hak mahasiswa dalam berpersatuan tanpa sebarang sekatan khususnya dalam hak mahasiswa Islam di Mesir untuk terlibat dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).



HAK PELAJAR MENURUT

PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG

Pelajar-pelajar boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu :-

Pelajar Dalam Negara
Pelajar Luar Negara


A. PELAJAR DALAM NEGARA

Akta Universiti dan Kolej Universiti ( AUKU ) 1971 terpakai hanya kepada pelajar dalam Negara. AUKU salah satu daripada akta-akta draconian yang menyekat kebebasan warganegara Malaysia khususnya pelajar.

Walaupun kebanyakan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas dan mempunyai hak mengundi seperti rakyat biasa, namun hak asasi mereka tetap disekat oleh AUKU. Di bawah AUKU, hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman, hak berpersatuan dan hak bersuara langsung dinafikan.

Kewujudan AUKU telah membunuh bakat mahasiswa, yang sebelum ini memainkan peranan yang penting sebagai jurubicara rakyat. AUKU telah memberikan kuasa yang terlampau besar kepada pihak universiti, sehingga minda mahasiswa disekat. Mahasiswa tidak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka, apatah lagi melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan politik?



B. PELAJAR LUAR NEGARA

AUKU tidak terpakai kepada pelajar luar negara . Bagaimanapun jika seorang kakitangan universiti awam di Malaysia ( pensyarah ) yang menyambung pelajarannya di luar Negara beliau masih tertakluk kepada AUKU.

Memandangkan para pelajar luar negara secara umumnya tidak dikawal oleh AUKU, apakah undang-undang yang mengawal mereka?

Bagi menjawab persoalan tersebut wajar rasanya kita melihat keadaan-keadaan berikut :-



i. Hak untuk menyertai persatuan.

Hak berpersatuan adalah satu hak asasi yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan hak tersebut hendaklah dihormati oleh mana-mana pihak.

Jika pelajar mempunyai hak untuk berpersatuan , pihak Kerajaan (termasuk kedutaan dan kakitangan yang berkaitan) pula bertanggungjawab melindungi hak tersebut.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara kita.

Mana-mana pihak yang menghalang , mengugut atau mengambil apa-apa tindakan yang menyebabkan hak tersebut tidak boleh dilaksanakan atau menghadapi masalah untuk dilaksanakan telah melakukan satu perbuatan yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes Nordin bin Salleh & 1 yang lain lwn Kerajaan Negeri Kelantan, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa mana-mana undang-undang atau tindakan yang menyebabkan hak berpersatuan tidak boleh dilaksanakan adalah bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagan Persekutuan.


ii. Pelajar –pelajar yang mendapat biasiswa/pinjaman dari mana-mana institusi.

Satu perkara yang mungkin gagal disedari oleh rakyat Malaysia khususnya orang-orang melayu adalah biasiswa adalah salah satu keistimewaan ( privileges ) orang Melayu yang dijamin di dalam Perlembagaan (Perkara 153) selain keistimewaan bahasa melayu dan tanah rezab melayu.

Apakah kepentingan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini ? Kepentingannya adalah Kerajaan WAJIB memberikan para pelajar melayu biasiswa jika mereka diberi tempat belajar di mana-mana institusi dalam atau luar negara dan mereka tidak boleh dikenakan syarat untuk membayar semula biasiswa yang mereka terima daripada Kerajaan.

Malangnya keistimewaan tersebut telah dicabut oleh pihak Kerajaan tanpa menghiraukan peruntukkan Perlembgaan.

Pelajar–pelajar pada kebiasaannya akan diarahkan menandatangani perjanjian biasiswa/pinjaman dengan pihak penaja mereka. Yang demikian pelajar dan penaja tertakluk kepada terma-terma perjanjian biasiswa/pinjamman tersebut. Perjanjian tersebut dikawal oleh Akta Kontrak 1950.

Berdasarkan perjanjian mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian jika mana-mana pihak tidak mematuhi terma-terma perjanjian..

Persoalan yang mungkin bersarang di dalam kepala para pelajar adalah adakah pihak penaja boleh menarik balik bantuan biasiswa jika mereka terlibat dengan persatuan atau aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan.

Sebagai contoh jika seorang pelajar menjadi anggota PMRAM, adakah ianya satu kesalahan dan bolehkah pihak penaja membatalkan perjanjian atau menarik balik biasiswa/pinjaman?

Jika pertubuhan yang diceburi oleh pelajar adalah persatuan yang sah dan berdaftar seperti PMRAM pihak penaja tidak boleh sama sekali mengambil tindakan ke atas pelajar yang ditaja atas alasan ia terlibat dengan persatuan atau mengikuti mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan kerana hak berpesatuan seperti yang dikatakan tadi hak yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sering juga ditimbulkan bahawa memandangkan PMRAM tidak berdaftar dengan Kerajaan Malaysia maka PMRAM sering disalah anggap sebagai pertubuhan/persatuan yang tidak sah.

PMRAM wujud di luar negara bukan di Malaysia . Oleh yang demikian Akta Pertubuhan 1960 yang mengawal mana-mana pertubuhan di Malaysia tidak terpakai kepada PMRAM. Dengan erti kata lain PMRAM tidak perlu didaftarkan di Malaysia.

Memandangkan PMRAM adalah persatuan pelajar di Mesir maka ia hanya perlu berdaftar di negara tersebut sahaja. Selagi mana PMRAM berdaftar di Mesir maka ia adalah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.


iii. Pelajar yang menerima wang zakat

Pelajar yang menerima zakat tidak boleh diambil tindakan seperti ditarik balik zakatnya hanya kerana mereka terlibat dengan persatuan atau mana-mana aktiviti persatuan. Adakah aku janji atau perjanjian yang mereka tandatangani dengan pihak-pihak yang memberikan zakat mengikat mereka ?

Pelajar yang menerima zakat tidak dikawal oleh perjanjian atau akujanji kerana urusan zakat adalah berkaitan hukum Islam. Selagi mana mereka dikategorikan dalam mana-mana asnaf yang lapan mereka berhak diberikan zakat tersebut. Dengan erti kata yang lain hak mereka bukan dkawal oleh perjanjian sebaliknya oleh hukum Islam bersandarkan Al-Quran, AlHadith, Ijma dan Qiyas.

Hak tersebut diperkuatkan lagi oleh Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama yang mana termasuk di dalam hak tersebut adalah mengamalkan ajaran Islam – hak untuk diputuskan soal zakat berasaskan hukum Islam.

Zakat bukan satu pemberian berdasarkan budibicara pihak berkuasa sebaliknya ianya satu pemberian yang wajib kepada mana-mana pihak yang berhak dan layak diberikan zakat tersebut.

Menarik balik zakat yang diberikan kepada pelajar hanya kerana pelajar terbabit dengan persatuan atau aktiviti-aktiviti persatuan bukan sahaja bercanggah dengan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan tetapi juga satu kezaliman menurut perspektif Islam.


________________________________________________________________



* Mohamed Hanipa Maidin LL.B (Hons) (UIA), L.L.B (Shariah) (Hons) UIA ; Peguambela & Peguamcara

No comments: