Monday, October 15, 2007


THAQAFAH NUQABA'

PENDAHULUAN

Penguasaan nuqaba' terhadap cabang ilmu yang menjadi latar belakang dakwah dan tarbiah merupakan satu perkara yang amat penting dan menjadi landasan utama kepercayaan anggota usrah terhadap naqib mereka.
Tajuk ini merupakan salah satu daripada beberapa tajuk yang amat penting apabila kita membicarakan perihal penguasaan para naqib terhadap ilmu pengetahuan.

Tajuk ini amat berkaitan dengan beberapa topik yang lain seperti penguasaan watak dan keterampilan, penguasaan sahsiah dan penguasaan kepimpinan.

Kekuatan Nuqaba'

  • Para nuqaba mesti mengetahui dan meyakini bahawa apabila saf pimpinan memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk mengetuai usrah, hal itu merupakan satu kepercayaan yang besar. Oleh itu mereka hendaklah memiliki keyakinan diri dan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

  • Mereka mesti mempunyai kekuatan, bahawa dalam apa jua perbincangan. Selaku naqib mereka memiliki kata pemutus.

  • Mereka mesti tidak boleh dikalahkan oleh tekanan keilmuan yang cetek, lantaran mereka sebenarnya telah memiliki ilmu. Oleh itu, kita selaku para naqib mestilah mempunyai teknik mencatat maklumat yang baik. Setiap ceramah yang kita dengar, kias ibarat yang kita terima, hendaklah disimpan di dalam fail maklumat yang baik dan tersusun. (Di sini Al Fadhil Ustaz telah memberi ulasan panjang lebar berkenaan sistem pemfailan, dan sebagai contoh, menyusun maklumat yang berkaitan di dalam satu folder dalam komputer atau di dalam fail yang tersendiri.

  • Mereka mesti menyedari bahawa bidang pengajian dan takhassus mereka sebenarnya boleh diolah untuk manfaat usrah dan dakwah. Oleh itu, mereka hendaklah mempelajari kemahiran dan teknik memanfaatkan kepakaran dalam bidang pengajian untuk kepentingan dakwah mereka.

THAQAFAH NUQABA' YANG PALING MINIMUM

Berikut disenaraikan beberapa rujukan bagi membantu mengatasi masalah ketidakyakinan kepada diri sendiri untuk mengendalikan usrah. Al-Qur'an ... Naqib hendaklah tahu bacaan al-Qur'an yang betul. Mereka hendaklah mengetahui hukum tajwid yang minimum.

Mereka sendiri hendaklah khatam al-Qur'an sekurang-kurangnya dua kali setahun. Buku yang dicadangkan untuk menguasai hukum tajwid al-Qur'an yang minimum ialah Al-Mulakhas al-Mufid fi Ilm al-Tajwid karangan Al ustaz Muhammad Ahmad Ma'bad.

Tafsir al-Qur'an ... Naqib hendaklah mengetahui asas penghantar kepada al-Qur'an. Mereka bolehlah merujuk kepada buku Kunci Mengenal al-Qur'an tulisan Zulkifli Hj.Yusoff.
Mereka juga perlu merujuk buku-buku tafsir yang lengkap huraiannya terhadap isi al- Qur'an. Buku yang dicadangkan ialah Tafsir Al-Azhar oleh Allahyarham Hamka atau buku Abr Al-Athir karangan Ustaz Ahmad Sonhadji.

Al-Hadith ... Naqib perlu mengetahui maklumat yang minimum tentang pengantar kepada ilmu al-hadith. Buku yang boleh dirujuk ialah Pengantar Ulum al-Hadith oleh Dr. Subhi Salih. Cuba merujuk setiap hadith kepada setiap kitab muktabar seperti Sunan Sittah. Kebanyakan buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.

Sirah Nabawi ... Naqib dapat meujuk Fiqh As-Sirah oleh Said Ramadhan al-Buti atau Fiqh Harakah oleh Abdul Hadi Awang.

Aqidah ... Elakkan diri daripada membincangkan aspek akidah seperti ilmu kalam dan falsafah secara mendalam. Sebaliknya firqah-firqah atau mazhab dalam Islam hendaklah mereka ketahui.

Mereka boleh membuat rujukan kepada buku Aqidah Islamiyyah oleh Sayyid Sabiq atau buku Muqaddimah Aqidah Mukmin oleh Abdul Hadi Awang.
Fiqh ... Mengetahui asas tarikh perkembangan hukum dalam Islam dan juga pengantar kepada ilmu fiqh. Buku rujukan untuk sejarah perkembangan hukum dalam Islam ialah The Evolution of Fiqh oleh Dr. Abu Aminah Bilal Philips dan juga Sejarah Pembinaan Hukum oleh Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid. Buku rujukan untuk pengantar kepada ilmu fiqh ialah buku Usul Fiqh oleh Ustaz Yaakob Ismail atau juga Principles of Islamic Jurisprudence oleh Dr. Mohammad Hashim Kamali. Buku fiqh yang ringkas dan terbaik ialah Fiqh al-Manhaji oleh Dr. Mustafa al-Khin, tetapi jika mampu, adalah lebih afdal buku Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Dr. Wahbah Az-Zuhaili.

Tazkirah ... Boleh rujuk kepada siri buku karangan Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti Tazkiyyah Jiwa dan Nafsu, Air Mata di Mahsyar dan Mati: Satu Peringatan.

Kesimpulan

Apa-apa yang dinyatakan di atas merupakan sumber minimum yang seharusnya dikuasai oleh para nuqaba' bagi melancarkan perjalanan usrah mereka. Pada masa yang sama, mereka hendaklah memiliki penguasaan dalam bidang ilmu dan alat yang lain seperti kenderaan dan komputer.

No comments: