Wednesday, December 12, 2007

Laksana pemerintahan berasaskan syariat Islam
- Dewan Ulama
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2006 (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu melakukan perubahan dalam pentadbirannya mengikut tuntutan agama Islam supaya selari dengan latar belakang beliau daripada golongan yang berfahaman tinggi dalam Islam.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Badaruzaman Mohd Yusuf berkata, rakyat menaruh harapan tinggi ketika beliau mula-mula menerajui negara supaya dapat melaksanakan pentadbiran berlandaskan peraturan yang tercatat dalam al-Quran.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu tidak berlaku dan perkara itu akan membuatkan rakyat tidak mempercayai kewibawaan Abdullah bukan sahaja dalam hal pentadbiran tetapi berkaitan dengan agama Islam.

"Jika Abdullah tidak bersedia membuat perubahan dalam pelaksanaan dasar negara, PAS akan berusaha untuk mengambil alih tampuk kepimpinan itu terutama di beberapa buah negeri," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas sikap pimpinan Umno yang menerajui negara sehingga 50 tahun katanya, umur matang bagi manusia itu 40 tahun dan Malaysia akan menyambut kemerdekaan kali yang ke-50.

Ini bererti tambah beliau, Malaysia sudah melepasi 10 tahun umur matang sepatutnya lepas 40 tahun banyak perubahan yang telah dilakukan ke arah kebaikan atau sekurang-kurangnya ada perubahan daripada apa yang berlaku sebelum itu.

Beliau berkata, tetapi apa yang berlaku di negara ini semakin tua semakin banyak masalah yang tidak dapat diatasi dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, ketika Tengku Abdul Rahman menerajui negara beliau mendakwa Islam tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk manakala era Tun Mahathir Mohamad, beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.

"Tetapi apabila era Abdullah negara kembali ke wajah baru iaitu jauh daripada ajaran Islam dan mencampuradukkan unsur-unsur dalam pentadbirannya," tegas beliau.

Kata beliau, apa yang berlaku dalam pentadbiran negara sekarang ia mengambil contoh pelaksanaan yang diamalkan oleh negara Barat yang jelas bukan sahaja tidak sesuai dengan umat Islam tetapi masyarakat Timur.

Sehubungan itu, Dewan Ulama berharap Abdullah perlu melakukan perubahan ke arah kebaikan sempena 50 tahun merdeka supaya kembali kepada asas yang telah dibina dan perlu berusaha menegakkan kebenaran serta keadilan berasaskan ajaran Islam dan jati diri masyarakat tempatan.

1 comment:

barb michelen said...

Hello I just entered before I have to leave to the airport, it's been very nice to meet you, if you want here is the site I told you about where I type some stuff and make good money (I work from home): here it is