Friday, April 11, 2008








Meraikan Kemenangan ADUN Pas Johor



Tidak ada sesiapa yang menyangka Pas Johor mampu untuk menembusi kekebalan UMNO?BN Johor. Malah, kebanyakan pemerhati politik mengatakan UMNO Johor akan terus berkuasa.


Pada malam pengiraan undi, Penganalisis Politik Datuk Johan Jaafar dengan pendapat peribadinya mengatakan 'UMNO Johor tidak ada masalah untuk menyapu bersih semua sekali kerusi yang ditandingi'


.Namun, Allah lebih berkuasa berbanding penganalisis politik. Siaran pengiraan undi ditamatkan seawal jam 3 pagi. Penganalisis-penganalisis politik sudah tidak lagi memberi pendangan yang menyebelahi BN. Rata-rata sudah menukar rentak bicara.


Pas Johor diantara yang terkejut dan bersyukur dengan kurniaan tuhan ini. Hilang kerusi Senggarang, menang pula kerusi Maharani dan Sungai Abong. Hilang satu, dapat dua. Inilah yang dinamakan limpahan rezeki yang tidak disangka-sangka. Berkat kesabaran, kecekalan, amalan yang berterusan, sedikit demi sedikit hasil yang diperoleh akan tiba jua.


Sehubungan itu, Pas Johor akan mengadakan Majlis Jamuan meraikan kemenangan dan petugas PRU mulai jam 6 petang pada 15hb Mac 2008 di Dewan Jubli Intan, Muar. Tetamu yang dilaporkan akan hadir adalah Presiden Pas, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, ADUN Maharani, YB Dr Mohamad Taslim dan ADUN Sg.Abong, YB Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh.

Wednesday, December 12, 2007

Laksana pemerintahan berasaskan syariat Islam
- Dewan Ulama
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2006 (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu melakukan perubahan dalam pentadbirannya mengikut tuntutan agama Islam supaya selari dengan latar belakang beliau daripada golongan yang berfahaman tinggi dalam Islam.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Badaruzaman Mohd Yusuf berkata, rakyat menaruh harapan tinggi ketika beliau mula-mula menerajui negara supaya dapat melaksanakan pentadbiran berlandaskan peraturan yang tercatat dalam al-Quran.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu tidak berlaku dan perkara itu akan membuatkan rakyat tidak mempercayai kewibawaan Abdullah bukan sahaja dalam hal pentadbiran tetapi berkaitan dengan agama Islam.

"Jika Abdullah tidak bersedia membuat perubahan dalam pelaksanaan dasar negara, PAS akan berusaha untuk mengambil alih tampuk kepimpinan itu terutama di beberapa buah negeri," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas sikap pimpinan Umno yang menerajui negara sehingga 50 tahun katanya, umur matang bagi manusia itu 40 tahun dan Malaysia akan menyambut kemerdekaan kali yang ke-50.

Ini bererti tambah beliau, Malaysia sudah melepasi 10 tahun umur matang sepatutnya lepas 40 tahun banyak perubahan yang telah dilakukan ke arah kebaikan atau sekurang-kurangnya ada perubahan daripada apa yang berlaku sebelum itu.

Beliau berkata, tetapi apa yang berlaku di negara ini semakin tua semakin banyak masalah yang tidak dapat diatasi dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, ketika Tengku Abdul Rahman menerajui negara beliau mendakwa Islam tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk manakala era Tun Mahathir Mohamad, beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.

"Tetapi apabila era Abdullah negara kembali ke wajah baru iaitu jauh daripada ajaran Islam dan mencampuradukkan unsur-unsur dalam pentadbirannya," tegas beliau.

Kata beliau, apa yang berlaku dalam pentadbiran negara sekarang ia mengambil contoh pelaksanaan yang diamalkan oleh negara Barat yang jelas bukan sahaja tidak sesuai dengan umat Islam tetapi masyarakat Timur.

Sehubungan itu, Dewan Ulama berharap Abdullah perlu melakukan perubahan ke arah kebaikan sempena 50 tahun merdeka supaya kembali kepada asas yang telah dibina dan perlu berusaha menegakkan kebenaran serta keadilan berasaskan ajaran Islam dan jati diri masyarakat tempatan.
Dewan Ulama PAS
minta umat Islam boikot majalah Al-Islam
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2006 (Hrkh) - Dewan Ulama PAS Pusat menyeru umat Islam bangkit dan menentang kenyataan yang dikeluarkan majalah Al-Islam dalam tajuk 'Ulama jangan merapu' dalam sesi keluaran bulan Ogos.

Setiausahanya, Dr Badaruzaman Md Yusuf berharap majalah itu diboikot kerana isi kandungannya kali ini mengandungi unsur yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
"Kita berharap pihak berwajib termasuk Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil perhatian terhadap perkara tersebut bagi mengelakkan perpecahan di kalangan umat Islam berhubung krisis kepimpinan ulama.

Menurut beliau, tajuk tersebut amat menghina institusi ulama terutamanya para mufti kerana isi kandungan itu berhubung dengan keputusan muzakarah ulama mengenai kongsi raya.
"Kita menentang dakwaan yang disiarkan dalam tajuk `Ulama jangan merapu' kerana alasan penulis terlibat amat rendah nilainya dan ia hanya bergantung kepada pandangan orang tertentu sahaja," katanya.

Beliau berkata, istilah merapu itu membawa makna yang sangat negatif dan mereka meletakkan status ulama itu seolah-olah sama dengan orang yang duduk di Hospital Tampoi atau Tanjung Rambutan (institusi menempatkan pesakit jiwa).

Menurut beliau, orang Islam sekarang jahil dan tidak lagi memberi kepercayaan kepada ulama khususnya dalam hal yang berkaitan dengan agama.

Katanya, ulama orang yang paling layak menyelesaikan apa sahaja masalah berkaitan agama tetapi senario hari ini mereka hanya diletakkan dalam sudut tertentu dalam suatu majlis kebesaran negara.

Beliau berkata umat Islam hari ini bukan sahaja menolak ulama tetapi lebih berani menghina mereka dan itu merupakan salah satu tanda akan berlakunya kiamat.

Sunday, October 28, 2007

RUMAH TERBUKA HARIRAYA IDILFITRI DAN CERAMAH PERDANA.
1.RUMAH TERBUKA IDILFITRI
Tarikh:1 Nov,2007.
Masa:4.00-7.00 petang.
Tempat :balai Islam Al-Muhammadi.
19,Kg Parit Medan Kundang Ulu,Muar
2.CERAMAH PERDANA
oleh YAB Tuan Guru Dato'Hj Nik Abd Aziz bin Nik Mat(Menteri Besar Kelantan)
Dan Tn Hj Muhammad bin Sabu (naib Presiden PAS)
Tarikh 1 Nov 2007
Masa:9.00 malam.
Tempat:Balai Islam Al Muhammadi,19, kg Parit Medan,Kundang Ulu,Muar
Semoga dengan kehadiran tuan/puan akan bertambahkan seri meriah majlis kami
Terima kasih

Tuesday, October 16, 2007

Datuk Z pindah keIstana,bila pula pemilik istana Teluk Kalong akan berpindah


Datuk Zakaria Deros (Datuk Z), wakil rakyat UMNO bagi kawasan Pelabuhan Kelang akan berpindah masuk ke istana mewah selepas Hari Raya. Tidak sampai setengah tahun menggemparkan tanahair dengan pelbagai kontroversi, Datuk Z bagaikan tiada apa-apa masalah meneruskan pembinaan istana dua setengah tingkat yang indah itu


Istana Datuk Z mempunyai 16 bilik tidur dan 21 bilik air. Ia juga dilengkapi dengan sebuah kolam mandi, kolam ikan, padang golf mini dan bilik tidur seluas sebuah rumah pangsa kos rendah yang dilengkapi dengan mandian 'jakuzi'.

BILA PULA AGAKNYA PEMILIK ISTANA DIBAWAH AKAN BERPINDAH MASUK

Monday, October 15, 2007



TUJUH PANDUAN UNTUK NAQIB

Adaptasi (ringkasan dan penyesuaian) daripada tulisan Ummu Azmi, "Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya" dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.

Panduan 1: Kenali Ahli Usrah. Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.

Panduan 2:
Rancang Program Pengisian. Naqib mesti merancang program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.

Panduan 3:
Segarkan Usrah dengan Suasana Perbincangan. Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

Panduan 4:
Bertindak sebagai Pemimpin Tempat Bernaung. Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, dalam atau luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.

Panduan 5:
Berikan Kerja kepada Ahli. Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih banyak orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.

Panduan 6:
Pelbagaikan Kesan Sampingan. Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:
  • 6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.

  • 6.2 Penyelesaian Masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.
  • 6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.
  • 6.4 Berkhemah dan Berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.

Pan
duan 7: Sediakan Laporan Penilaian. Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah penambahbaikan boleh dirancang dan dilaksanakan.

Catatan :
"Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya."

THAQAFAH NUQABA'

PENDAHULUAN

Penguasaan nuqaba' terhadap cabang ilmu yang menjadi latar belakang dakwah dan tarbiah merupakan satu perkara yang amat penting dan menjadi landasan utama kepercayaan anggota usrah terhadap naqib mereka.
Tajuk ini merupakan salah satu daripada beberapa tajuk yang amat penting apabila kita membicarakan perihal penguasaan para naqib terhadap ilmu pengetahuan.

Tajuk ini amat berkaitan dengan beberapa topik yang lain seperti penguasaan watak dan keterampilan, penguasaan sahsiah dan penguasaan kepimpinan.

Kekuatan Nuqaba'

  • Para nuqaba mesti mengetahui dan meyakini bahawa apabila saf pimpinan memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk mengetuai usrah, hal itu merupakan satu kepercayaan yang besar. Oleh itu mereka hendaklah memiliki keyakinan diri dan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

  • Mereka mesti mempunyai kekuatan, bahawa dalam apa jua perbincangan. Selaku naqib mereka memiliki kata pemutus.

  • Mereka mesti tidak boleh dikalahkan oleh tekanan keilmuan yang cetek, lantaran mereka sebenarnya telah memiliki ilmu. Oleh itu, kita selaku para naqib mestilah mempunyai teknik mencatat maklumat yang baik. Setiap ceramah yang kita dengar, kias ibarat yang kita terima, hendaklah disimpan di dalam fail maklumat yang baik dan tersusun. (Di sini Al Fadhil Ustaz telah memberi ulasan panjang lebar berkenaan sistem pemfailan, dan sebagai contoh, menyusun maklumat yang berkaitan di dalam satu folder dalam komputer atau di dalam fail yang tersendiri.

  • Mereka mesti menyedari bahawa bidang pengajian dan takhassus mereka sebenarnya boleh diolah untuk manfaat usrah dan dakwah. Oleh itu, mereka hendaklah mempelajari kemahiran dan teknik memanfaatkan kepakaran dalam bidang pengajian untuk kepentingan dakwah mereka.

THAQAFAH NUQABA' YANG PALING MINIMUM

Berikut disenaraikan beberapa rujukan bagi membantu mengatasi masalah ketidakyakinan kepada diri sendiri untuk mengendalikan usrah. Al-Qur'an ... Naqib hendaklah tahu bacaan al-Qur'an yang betul. Mereka hendaklah mengetahui hukum tajwid yang minimum.

Mereka sendiri hendaklah khatam al-Qur'an sekurang-kurangnya dua kali setahun. Buku yang dicadangkan untuk menguasai hukum tajwid al-Qur'an yang minimum ialah Al-Mulakhas al-Mufid fi Ilm al-Tajwid karangan Al ustaz Muhammad Ahmad Ma'bad.

Tafsir al-Qur'an ... Naqib hendaklah mengetahui asas penghantar kepada al-Qur'an. Mereka bolehlah merujuk kepada buku Kunci Mengenal al-Qur'an tulisan Zulkifli Hj.Yusoff.
Mereka juga perlu merujuk buku-buku tafsir yang lengkap huraiannya terhadap isi al- Qur'an. Buku yang dicadangkan ialah Tafsir Al-Azhar oleh Allahyarham Hamka atau buku Abr Al-Athir karangan Ustaz Ahmad Sonhadji.

Al-Hadith ... Naqib perlu mengetahui maklumat yang minimum tentang pengantar kepada ilmu al-hadith. Buku yang boleh dirujuk ialah Pengantar Ulum al-Hadith oleh Dr. Subhi Salih. Cuba merujuk setiap hadith kepada setiap kitab muktabar seperti Sunan Sittah. Kebanyakan buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.

Sirah Nabawi ... Naqib dapat meujuk Fiqh As-Sirah oleh Said Ramadhan al-Buti atau Fiqh Harakah oleh Abdul Hadi Awang.

Aqidah ... Elakkan diri daripada membincangkan aspek akidah seperti ilmu kalam dan falsafah secara mendalam. Sebaliknya firqah-firqah atau mazhab dalam Islam hendaklah mereka ketahui.

Mereka boleh membuat rujukan kepada buku Aqidah Islamiyyah oleh Sayyid Sabiq atau buku Muqaddimah Aqidah Mukmin oleh Abdul Hadi Awang.
Fiqh ... Mengetahui asas tarikh perkembangan hukum dalam Islam dan juga pengantar kepada ilmu fiqh. Buku rujukan untuk sejarah perkembangan hukum dalam Islam ialah The Evolution of Fiqh oleh Dr. Abu Aminah Bilal Philips dan juga Sejarah Pembinaan Hukum oleh Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid. Buku rujukan untuk pengantar kepada ilmu fiqh ialah buku Usul Fiqh oleh Ustaz Yaakob Ismail atau juga Principles of Islamic Jurisprudence oleh Dr. Mohammad Hashim Kamali. Buku fiqh yang ringkas dan terbaik ialah Fiqh al-Manhaji oleh Dr. Mustafa al-Khin, tetapi jika mampu, adalah lebih afdal buku Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Dr. Wahbah Az-Zuhaili.

Tazkirah ... Boleh rujuk kepada siri buku karangan Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti Tazkiyyah Jiwa dan Nafsu, Air Mata di Mahsyar dan Mati: Satu Peringatan.

Kesimpulan

Apa-apa yang dinyatakan di atas merupakan sumber minimum yang seharusnya dikuasai oleh para nuqaba' bagi melancarkan perjalanan usrah mereka. Pada masa yang sama, mereka hendaklah memiliki penguasaan dalam bidang ilmu dan alat yang lain seperti kenderaan dan komputer.