Friday, September 28, 2007


Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!

Hassan Al-Banna

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Al Kahfi:13)

Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.

Anakanda di penjara menara gading,

Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.

Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.

Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak.

Anakanda di penjara menara gading,

Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.

Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.

Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Anakanda di penjara menara gading,

Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.

Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.

Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.

Allah berfirman(Al-Imran:18-19): Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.

Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.

Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak.

Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.

Allah berfirman (Al-Imran : 85):

Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.

Anakanda di penjara menara gading,

Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya.

Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.

Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.

Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.

Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.

Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.

Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.

Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :

Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.

Anakanda di penjara menara gading,

Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.

Allah berfirman (Al-Imran : 110): Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):

Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.

Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan.

Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

Daripada Ayahandamu,
Assyahid Hassan Al Banna
MAHASISWA MELAYU MESIR
DITEKAN LAGI!!!

Keluarga Penuntut Terengganu adalah satu badan kebajikan anak negeri yang diasaskan sejak 1964. KPT telah menempa pelbagai kecemerlangan dari dulu sehinggalah sekarang.

Kesatuan mahasiswa Terengganu amat terjalin rapat. Ikhuwah yang berteraskan ikatan iman dan islam menjadikan hubungan sesama mahasiswa teramat rapat sehinggakan segala perjalanan badan kebajikan anak negeri dapat berjalan dengan lancar.

Setelah Asrama Darul Iman dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Idris Jusuh pada 9 September 2007 lepas, KPT dinafikan haknya untuk menaungi anak-anak Terengganu.Ura-ura dari encik Mat Ropi yang bertegas pada mulanya bahawa KPT akan tetap berada di Asrama Darul Iman amat mengecewakan semua pihak.Ucapannya tidak lebih mahu menarik pelajar supaya mereka merasakan dirinya menjaga kebajikan semua ahli, termasuk persatuan KPT.

Sebenarnya, antara fakta yang perlu diketahui, KPT sebenarnya sebuah badan kebaikan yang berdaftar dibawah Kedutaan Mesir. Walaupun pendaftarannya lewat, akan tetapi pendaftarannya di Kedutaan telah menjamin haknya untuk menaungi anak Terengganu.

KPT perlu mendapat HAKNYA

Kedutaaan Malaysia Kaherah akan menjaga setiap persatuan anak-anak negeri yang bernaung dibawah mereka. Kedutaan sewajarnya, memberikan kata putus terhadap hak KPT terhadap pengiktirafan yang mereka dapat setelah berdaftar pada akhir tahun 2003/2004.

KPT yang mempunyai perlembagaan sebuah persatuan adalah badan yang tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Ini adalah satu hak kebebasan menyatakan pandangan dan bebas berpesatuan. Sepertimana yang diperuntukan oleh perlembagaan Malaysia.

Encik Mat Ropi sepatutnya mengambil tindakan yang lebih wajar. Permainan politik murahan UMNO yang mahu menggula-gulakan mahasisa supaya menjadi penyokong kepada Gagasan Islam Hadhari amatlah dikesali.Alam kemahasiswaan tidak sama alam persekolan dahulu. Begitulah juga, pemikiran dan tidakan mahasiswa tidak sama dengan pelajar sekolah menengah.Mahasiswa berhak menyuarakan pandangan mereka dalam semua perkara yang tidak bercanggah dengan norma seorang manusia beraklak.

Pertahankan KPT

Sekuat mana ribut yang melanda , para ahli KPT perlu dan wajib bersatu dalam menyuarakan hak mereka .Mempertahankan KPT sebagai satunya wadah anak terengganu bukanlah diaanggap sebagai ta'asub , kerana ta'asub bermakna menolong kaum/kelompok sendiri dalam perkara kemungkaran. Adakah KPT melakukan kemungkaran?..Tentu tidak, hanya kerana politik balas dendam dan hasad dengki maka di perlakukan sebegitu rupa KPT.

Bangkitlah ahli-ahli KPT bersatu , rapatkan kembali saf -saf perjuangan. Sepakat kata dalam sebarang tidakan adalah satu jalan penyelesaian dalam berhadap dengan Pegawai HEP ini.

Kesatuan adalah Kemenangan!!

HIDUP MAHASISWA


Angkatan Muda KeADILan mendesak pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) supaya memecat Jawatankuasa Pengurusan Pilihan Raya Kampus (PRK) kampus tersebut ekoran proses penamaan calon dibuka semula.

"Atas dasar apa mereka berbuat demikian? Jika disebabkan alasan aduan mahasiswa tidak sempat mengambil borang dan melengkapkannya, ia tidak sepatutnya berlaku," ujar Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Selaku bekas mahasiswa kampus tersebut serta mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM sesi 1996/97, Samsul Iskandar menyatakan bahawa apa yang berlaku dalam PRK kali ini tidak pernah terjadi dalam sejarah pilihan raya di kampus UIAM.

Satu tragedi pendidikan

"Saya malu dengan hal ini, kerana ia adalah suatu tragedi pendidikan yang besar untuk dirakamkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily

Tegas beliau, seharusnya kampus tersebut yang sinonim dengan gelaran 'taman ilmu dan budi' menjadi contoh kepada kampus lain, yang sentiasa menyebarkan nilai-nilai moral dan Islam yang tinggi serta mempraktikkan nilai tersebut dalam semua urusan.

Mengulas tentang campur tangan pihak luar, Samsul Iskandar tidak menafikan terdapat dalang tertentu daripada kalangan individu berkepentingan dalam kerajaan dan pentadbiran universiti yang berusaha untuk memenangkan kumpulan Aspirasi di UIAM.

"Jika benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Reezal Merican terlibat, saya ingin nasihatkan beliau agar tidak campur tangan dalam PRK. Biarkan mahasiswa sendiri yang menentukan pemimpin dan hala tuju perjuangan mereka," ujarnya lagi.

Kampus jelasnya, adalah medan latihan untuk melatih kepimpinan mahasiswa yang neutral serta tidak dicemari unsur-unsur kotor.

Bukan isu besar sokong pembangkang atau bersama pemerintah

"Semasa di kampus dahulu, saya bertanding atas tiket Aspirasi, tetapi apabila saya meninggalkan alam kampus, saya menyertai KeADILan.

"Ada juga yang dahulunya pro-pembangkang di kampus, tetapi menyertai Umno-BN di luar kampus. Jadi tidak semestinya mereka terikat dengan ideologi yang dipegang semasa belajar," tegasnya.

Beliau menjelaskan campur tangan pihak luar adalah disebabkan mereka mempunyai motif bersifat politik bahawa mahasiswa adalah suatu entiti unik 'political force' yang mempunyai kekuatan politik tersendiri yang seringkali menarik perhatian parti-parti politik luar untuk kepentingan mereka

"Apa yang berlaku kini sudah sampai ke peringkat amalan diktator," katanya tegas.

"Akhirnya, mahasiswa IPT akan dikenali sebagai kumpulan yang diternak, bukan dididik yang akan memberi kesan jangka masa panjang kepada negara akibat tidak mendapat pendidikan yang tidak sempurna," tambahnya.

Tawar khidmat pembelaan

AMK ujarnya menawarkan khidmat nasihat dan pembelaan menerusi Biro Mahasiswa kepada calon yang merasakan diri mereka dianiaya oleh sistem PRK yang diamalkan sekarang kerana mereka yang telah sah dinamakan sebagai calon hanya mempunyai satu hari untuk berkempen, setelah dilarang menjalankan aktiviti kempen sebelum hari pembuangan undi.

Samsul turut berpesan kepada mahasiswa agar tidak gentar dan takut dengan tekanan pihak universiti dan Umno/BN dalam PRK akan datang ini.

Demokrasi kampus lambang demokrasi negara

Wajah demokrasi negara dapat dilihat dengan kadar kebebasan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi dalam menyuarakan pandangan serta tindakan yang masih menepati kehendak dan hasrat masyarakat.

Namun, semua itu telah lama mati akibat kerakusan pihak tertentu yang bertindak merampasnya daripada golongan muda yang kaya dengan semangat juang dalam membentuk peribadi sebagai medan terakhir sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pandangan demikian dilontarkan oleh Naib Presiden PAS, Mohamed Sabu ketika dihubungi Harakahdaily berhubung isu penamaan semula pilihan raya kampus (PRK) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 30 September ini selepas ianya berlangsung secara serentak di semua IPT pada 26 September lalu.

Ujarnya, keadaan demokrasi kampus sekarang sudah mati, disebabkan mahasiswa ini sudah tidak boleh menyuarakan idealisme mereka sendiri akibat kongkongan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan ke atas mereka.

Jawatankuasa pilihan raya kampus lebih teruk daripada SPR

"Saya tidak yakin langsung dengan kredibiliti dan ketelusan jawatankuasa PRK yang dilantik. Sama macam SPR di luar kampus yang tidak bersih dan adil," katanya.

Beliau mendakwa Presiden UIA, Tan Sri Sanusi Junid bercakap bohong dan beliau yang dikatakan berkecuali dalam PRK ini adalah omongan kosong sahaja.

"Sepatutnya UIAM selaku sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa menjadi contoh kepada kampus-kampus lain, lebih bebas tetapi ini tidak. Dia jadi lagi teruk dan lebih buruk," tegas beliau lagi.

Mohamed Sabu juga tidak hairan dengan desas-desus kemungkinan penglibatan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sebagai dalang utama kepada apa yang terjadi di UIAM.

GPMS cuba tonjolkan diri di bawah era Abdullah

Ini adalah kerana, persatuan tersebut telah lama pupus dan tidak popular lantaran ditolak oleh mahasiswa pada tahun 1970-an, kini ia diberikan semula fungsinya bagi membantu regim Abdullah Badawi bagi membantu kemenangan Aspirasi-Umno di kampus yang dikatakan dikuasai pro pembangkang.

Beliau juga tidak menolak terdapatnya campur tangan Umno/BN secara terang-terangan.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata pihak mereka tidak akan berdiam diri dengan pelbagai kejadian yang berlaku dalam PRK kali ini.

Konspirasi kotor

Pengerusinya, Syeikh Omar Ali berkata apa yang berlaku merupakan konspirasi kotor yang telah mencalarkan imej IPT serta Kementerian Pengajian Tinggi sendiri dalam mengendalikan perjalanan PRK yang adil dan telus.

SMM sebelum ini ujarnya telah mengemukakan 10 tuntutan kepada KPT, Suhakam, Kaukus serta Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri.

Namun, KPT tidak memberikan sebarang jawapan terhadap aduan kami itu sebaliknya 'mempersembahkan' pelbagai kejadian yang 'menarik' dalam PRK ini yang berat sebelah, tidak telus serta menonjolkan cubaan pihak tertentu yang berkepentingan.

"Kami sungguh kecewa dan hilang keyakinan terhadap kredibiliti SPR kampus. Tak sangka ini yang kami dapat," ujarnya kepada Harakahdaily. -

Tuesday, September 25, 2007



Kenapa Mahasiswa Baru Di Mesir Perlu Dihalang Memasuki Rumah Anak Negeri?


Setiap tahun Mesir akan menerima kedatangan ramai mahasiswa baru yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar sama ada di Kaherah atau di cawangan-cawangan Al-Azhar di seluruh Mesir. Saban tahun kedatangan mereka akan disambut oleh PMRAM bersama BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri). Mereka akan ditempatkan di setiap rumah negeri sebelum dihantar ke tempat pengajian yang dipohon oleh setiap mahasiswa dan mahasiswi.


Namun begitu, berlaku suasana yang tidak sihat apabila sebahagian mahasiswa baru tidak dibenarkan memasuki Asrama Rumah Negeri dengan alasan rumah negeri sudah penuh dan pelbagai alasan yang lain. Suasana ini dapat dilihat di beberapa negeri seperti Selangor dan Terengganu. Kedatangan pegawai hal ehwal pelajar (HEP) sebelum ini dilihat ingin membantu memudahkan urusan–urusan pelajar telah bertukar menjadi tembok besar kepada para mahasiswa untuk mendapat tempat di rumah negeri masing-masing.


Perkara ini jelas terbukti apabila 11 orang pelajar Universiti Darul Iman (UDM) yang tiba pada 16 September baru-baru ini dihalang memasuki Rumah Negeri dengan pelbagai alasan. Tidak cukup dengan itu, tindakan yang sama dilakukan ke atas pelajar-pelajar Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) seramai 49 orang yang terpaksa mencari rumah-rumah sewa yang berdekatan dalam tempoh yang singkat pada masa yang sama harga rumah ketika ini melambung tinggi dan begitu sukar untuk didapati dengan mudah.


Begitu juga suasana yang berlaku kepada pelajar-pelajar Selangor. Kita melihat bahawa semua pelajar yang disisihkan daripada Rumah Negeri adalah pelajar-pelajar persendirian. Jika difikirkan dengan baik, para pelajar yang datang secara persendirian inilah yang patut diutamakan dari sudut menjaga kebajikan mereka. Namun perkara yang sebaliknya berlaku.


Pujian yang tinggi patut diucapkan kepada Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir kerana sudi menyediakan tempat kepada 11 orang pelajar Terengganu yang menerima nasib malang ini. Begitu juga kepada beberapa individu yang tidak loket memberikan rumah sewa mereka sebagai tempat persinggahan pertama bagi pelajar-pelajar baru untuk meneruskan usaha menuntut ilmu di bumi barakah ini.


Bagi PMRAM, kedatangan para pegawai yang ditugaskan untuk menyelia rumah-rumah negeri sepatutnya adalah untuk memudahkan urusan kebajikan para mahasiswa dan bukan untuk menyukarkan. Satu ketika dahulu, walaupun para pegawai tidak ada untuk menyelia rumah negeri, para mahasiswa yang diwakili oleh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dapat menjaga kebajikan para pelajar dengan begitu baik. Sepatutnya suasana harmoni ini perlu kembali diwujudkan tanpa ada unsur-unsur ugutan terhadap pelajar.


Semoga kebajikan dan kebebasan para mahasiswa tidak akan tercalar disebabkan tindakan beberapa orang pegawai rumah negeri. PMRAM akan cuba sedaya mungkin untuk memberikan kebajikan kepada seluruh warga Malaysia di bumi Mesir ini.

KENYATAAN MEDIA DP PUSAT


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa keprihatinan yang mendalam terhadap situasi politik kampus yang dicabuli habis-habisan oleh agen-agen kerajaan UMNO-Barisan Nasional khususnya menjelang pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di seluruh Negara bermula dengan pembubaran MPM sesi 2006/07 pada 24 September 2007. Siri- siri ugutan dan ancaman kepada mahasiswa kumpulan ‘pro-mahasiswa’ berlaku secara terancang dan konsisten seperti terbaru yang berlaku di UPM dan UM ibarat sebagai permulaan kepada skrip konspirasi untuk melanyak ‘standard’ pilihanraya kampus sehingga tahap yang paling bawah.

Kami melihat kelangsungan tradisi campurtangan yang langsung dan serius daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berterusan pada tahun ini dengan menghantar staf-staf khusus dengan misi memenangkan kumpulan ASPIRASI dalam pilihanraya kampus yang akan datang. Ternyata KPT dibawah Dato’ Mustafa Mohamad langsung tidak berminat untuk melihat para mahasiswa menunaikan hak mereka untuk memilih dan dipilih dalam pilihanraya kampus yang datang secara bebas dan adil. Kai melihat Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) yang ditugaskan sebagai SPR bagi pilihanraya kampus langsung tidak mempunyai kredbiliti untuk mengendalikan pilihanraya kampus. Para pegawai tertinggi HEP terbukti telah diprogramkan sebagai salah satu faktor memenangkan kumpulan ASPIRASI melalui siri pertemuan dengan Menteri dan Setiausaha Parlimen KPT dan dihadiri wakil tetap daripada UMNO. Bahkan berdasarkan laporan-laporan pilihanraya kampus yang lepas para pegawai HEP secara terang-terangan membuli kelompok mahasiswa bukan ASPIRASI dengan pelbagai sekatan yang tidak demokratik.

Kami menganggap perubahan tempoh berkempen dari 3 hari kepada 6 hari seperti yang diumumkan hanyalah sebagai sandiwara untuk menutup kepincangan dan ketempangan perjalanan pilihanraya kampus kali ini. Apalah maknanya sekiranya tempoh kempen dipanjangkan tetapi ruang untuk berkempen secara bebas untuk semua calon yang bertanding disekat secara terpilih. Adalah sangat malang ketika ranking universiti-universiti tempatan menjunam di peringkat antarabangsa, BHEP terus merendahkan daya fikir dan gerak tindak mahasiswa dengan mengehadkan kebebasan politik mahasiswa secara total.

Justeru, kami menuntut agar jawatankuasa bebas pemantauan pilihanraya kampus ditubuhkan terdiri daripada wakil Persatuan Kakitangan Akademik Universiti (PKAU) untuk memantau perjalanan pilihanraya kampus yang akan datang. DPPP juga menuntut agar pihak SUHAKAM dibenarkan untuk mengawasi perjalanan pilihanraya kampus pada kali ini bagi memastikan wujudnya sedikit unsur ‘semak dan imbang’ dalam perlaksanaan pilihanraya kampus di seluruh negara.


HJ. NASRUDIN BIN HASSAN at TANTAWI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat

Berikut adalah kertas kerja yang dibentangkan oleh Peguam Tuan Haji Mohamed Hanipa Maidin semasa program Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT). Kertas kerja ini berkisar tentang hak mahasiswa dalam berpersatuan tanpa sebarang sekatan khususnya dalam hak mahasiswa Islam di Mesir untuk terlibat dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).



HAK PELAJAR MENURUT

PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG

Pelajar-pelajar boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu :-

Pelajar Dalam Negara
Pelajar Luar Negara


A. PELAJAR DALAM NEGARA

Akta Universiti dan Kolej Universiti ( AUKU ) 1971 terpakai hanya kepada pelajar dalam Negara. AUKU salah satu daripada akta-akta draconian yang menyekat kebebasan warganegara Malaysia khususnya pelajar.

Walaupun kebanyakan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas dan mempunyai hak mengundi seperti rakyat biasa, namun hak asasi mereka tetap disekat oleh AUKU. Di bawah AUKU, hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman, hak berpersatuan dan hak bersuara langsung dinafikan.

Kewujudan AUKU telah membunuh bakat mahasiswa, yang sebelum ini memainkan peranan yang penting sebagai jurubicara rakyat. AUKU telah memberikan kuasa yang terlampau besar kepada pihak universiti, sehingga minda mahasiswa disekat. Mahasiswa tidak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka, apatah lagi melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan politik?



B. PELAJAR LUAR NEGARA

AUKU tidak terpakai kepada pelajar luar negara . Bagaimanapun jika seorang kakitangan universiti awam di Malaysia ( pensyarah ) yang menyambung pelajarannya di luar Negara beliau masih tertakluk kepada AUKU.

Memandangkan para pelajar luar negara secara umumnya tidak dikawal oleh AUKU, apakah undang-undang yang mengawal mereka?

Bagi menjawab persoalan tersebut wajar rasanya kita melihat keadaan-keadaan berikut :-



i. Hak untuk menyertai persatuan.

Hak berpersatuan adalah satu hak asasi yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan hak tersebut hendaklah dihormati oleh mana-mana pihak.

Jika pelajar mempunyai hak untuk berpersatuan , pihak Kerajaan (termasuk kedutaan dan kakitangan yang berkaitan) pula bertanggungjawab melindungi hak tersebut.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara kita.

Mana-mana pihak yang menghalang , mengugut atau mengambil apa-apa tindakan yang menyebabkan hak tersebut tidak boleh dilaksanakan atau menghadapi masalah untuk dilaksanakan telah melakukan satu perbuatan yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes Nordin bin Salleh & 1 yang lain lwn Kerajaan Negeri Kelantan, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa mana-mana undang-undang atau tindakan yang menyebabkan hak berpersatuan tidak boleh dilaksanakan adalah bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagan Persekutuan.


ii. Pelajar –pelajar yang mendapat biasiswa/pinjaman dari mana-mana institusi.

Satu perkara yang mungkin gagal disedari oleh rakyat Malaysia khususnya orang-orang melayu adalah biasiswa adalah salah satu keistimewaan ( privileges ) orang Melayu yang dijamin di dalam Perlembagaan (Perkara 153) selain keistimewaan bahasa melayu dan tanah rezab melayu.

Apakah kepentingan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini ? Kepentingannya adalah Kerajaan WAJIB memberikan para pelajar melayu biasiswa jika mereka diberi tempat belajar di mana-mana institusi dalam atau luar negara dan mereka tidak boleh dikenakan syarat untuk membayar semula biasiswa yang mereka terima daripada Kerajaan.

Malangnya keistimewaan tersebut telah dicabut oleh pihak Kerajaan tanpa menghiraukan peruntukkan Perlembgaan.

Pelajar–pelajar pada kebiasaannya akan diarahkan menandatangani perjanjian biasiswa/pinjaman dengan pihak penaja mereka. Yang demikian pelajar dan penaja tertakluk kepada terma-terma perjanjian biasiswa/pinjamman tersebut. Perjanjian tersebut dikawal oleh Akta Kontrak 1950.

Berdasarkan perjanjian mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian jika mana-mana pihak tidak mematuhi terma-terma perjanjian..

Persoalan yang mungkin bersarang di dalam kepala para pelajar adalah adakah pihak penaja boleh menarik balik bantuan biasiswa jika mereka terlibat dengan persatuan atau aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan.

Sebagai contoh jika seorang pelajar menjadi anggota PMRAM, adakah ianya satu kesalahan dan bolehkah pihak penaja membatalkan perjanjian atau menarik balik biasiswa/pinjaman?

Jika pertubuhan yang diceburi oleh pelajar adalah persatuan yang sah dan berdaftar seperti PMRAM pihak penaja tidak boleh sama sekali mengambil tindakan ke atas pelajar yang ditaja atas alasan ia terlibat dengan persatuan atau mengikuti mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan kerana hak berpesatuan seperti yang dikatakan tadi hak yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sering juga ditimbulkan bahawa memandangkan PMRAM tidak berdaftar dengan Kerajaan Malaysia maka PMRAM sering disalah anggap sebagai pertubuhan/persatuan yang tidak sah.

PMRAM wujud di luar negara bukan di Malaysia . Oleh yang demikian Akta Pertubuhan 1960 yang mengawal mana-mana pertubuhan di Malaysia tidak terpakai kepada PMRAM. Dengan erti kata lain PMRAM tidak perlu didaftarkan di Malaysia.

Memandangkan PMRAM adalah persatuan pelajar di Mesir maka ia hanya perlu berdaftar di negara tersebut sahaja. Selagi mana PMRAM berdaftar di Mesir maka ia adalah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.


iii. Pelajar yang menerima wang zakat

Pelajar yang menerima zakat tidak boleh diambil tindakan seperti ditarik balik zakatnya hanya kerana mereka terlibat dengan persatuan atau mana-mana aktiviti persatuan. Adakah aku janji atau perjanjian yang mereka tandatangani dengan pihak-pihak yang memberikan zakat mengikat mereka ?

Pelajar yang menerima zakat tidak dikawal oleh perjanjian atau akujanji kerana urusan zakat adalah berkaitan hukum Islam. Selagi mana mereka dikategorikan dalam mana-mana asnaf yang lapan mereka berhak diberikan zakat tersebut. Dengan erti kata yang lain hak mereka bukan dkawal oleh perjanjian sebaliknya oleh hukum Islam bersandarkan Al-Quran, AlHadith, Ijma dan Qiyas.

Hak tersebut diperkuatkan lagi oleh Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama yang mana termasuk di dalam hak tersebut adalah mengamalkan ajaran Islam – hak untuk diputuskan soal zakat berasaskan hukum Islam.

Zakat bukan satu pemberian berdasarkan budibicara pihak berkuasa sebaliknya ianya satu pemberian yang wajib kepada mana-mana pihak yang berhak dan layak diberikan zakat tersebut.

Menarik balik zakat yang diberikan kepada pelajar hanya kerana pelajar terbabit dengan persatuan atau aktiviti-aktiviti persatuan bukan sahaja bercanggah dengan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan tetapi juga satu kezaliman menurut perspektif Islam.


________________________________________________________________



* Mohamed Hanipa Maidin LL.B (Hons) (UIA), L.L.B (Shariah) (Hons) UIA ; Peguambela & Peguamcara

Saturday, September 22, 2007



PMRAM Menyelar Tindakan Mengugut Mahasiswa Islam Di Mesir.


Presiden PMRAM, Hairul Nizam Mat Husain menyelar tindakan beberapa pihak yang menakut-menakutkan mahasiswa Islam yang belajar di Mesir yang ingin bersama dan terlibat dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Dalam ucapan penggulungan beliau ketika menyatakan hala tuju PMRAM sesi 2007 dalam Majlis Dialog Perdana PMRAM Dan Motivasi Kecemerlangan Akademik, beliau menegaskan bahawa mahasiswa Islam sepatutnya diberikan kebebasan hak berpersatuan dan berorganisasi.
Menurut beliau, mahasiswa adalah kelompok masyarakat intelektual yang berhak untuk menentukan pendirian mereka yang berpaksikan kepada ilmu dan akademik tanpa perlu golongan intelek ini dibelit dan diikat dengan mana-mana kongkongan politik.


“Kita bukan pelajar sekolah menengah. Kita bukan pelajar sekolah rendah. Kenapa mahasiswa perlu ditakut-takutkan? Kenapa mahasiswa mesti diugut dengan potongan zakat dan pinjaman apabila mereka terlibat dengan PMRAM? Kenapa zakat yang merupakan hak Allah yang wajib diagihkan kepada asnaf yang sepatutnya dijadikan sebagai alat untuk mengancam kebebasan mahasiswa bersuara dan berpersatuan? Saya sebagai Presiden PMRAM tidak akan meredhai tindakan zalim pihak-pihak tertentu yang menjadikan zakat dan pinjaman sebagai alat untuk mengugut dan menyekat para mahasiswa daripada terlibat dengan PMRAM. Saya akan mempersoalkan mereka yang menganjurkan ugutan ini di hadapan Allah kelak di atas tindakan yang bercanggah dengan Islam dan hak kebebasan manusia”, kata beliau dalam majlis tersebut.


Dilema yang menimpa para mahasiswa Islam di Mesir ini terus berlarutan apabila wujud ancaman pemotongan zakat dan biasiswa kepada mana-mana mahasiswa yang terlibat dengan program-program yang dianjurkan oleh PMRAM sehingga para mahasiswa di Mesir takut untuk terlibat dengan PMRAM sekalipun mereka ingin untuk menyertai program-program akademik dan ilmiah yang merupakan agenda utama PMRAM yang mementingkan kebajikan ahli.


Walau bagaimanapun, pihak PMRAM telah mendapat nasihat daripada beberapa pihak guaman di Malaysia agar menubuhkan satu jawatankuasa khusus yang akan mengambil maklumat ahli PMRAM yang dipotong biasiswa dan zakat untuk dibawa ke peringkat undang-undang.


Friday, September 21, 2007



Pilihan raya kampus 2007, siswi dikasari ketika bangun qiamullail.

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Setelah selesai teka teki tarikh pilihan raya kampus (PRK), senarionya terus bergolak dengan insiden-insiden tradisi setelah gendang 'pertandingan' dipalu.

Umpama tradisi, menjelang PRK insiden-insiden tersebut mengganggu keharmonian perjalanan rutin kehidupan seseorang mahasiswa di menara gading.

Terbaru, pelajar tahun pertama, Jurusan Sains Gunaan dan Pengajian Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Khalila Bakri ditangkap dan dikasari ketika bangun untuk mengerjakan solat sunat dan qiyamullail.

Beliau yang merupakan penghuni Kolej Kediaman Ke sepuluh disoal siasat oleh Presiden Kolej, Arie Sakina yang terserempak dengannya pada jam 4.30 pagi 12 September lalu.

"Kemudian dia meminta saya mengeluarkan apa yang berada di bawah tudung saya dan di dalam poket seluar saya. Dia menuduh saya mempunyai dan mengedar risalah haram," demikian menurut laporan aduan beliau.

Setelah Khalila diperiksa diri dan gagal menemui apa-apa, dengan tegas Arie mengarahkan Khalila memasuki biliknya, kemudian memanggil dua lagi rakannya untuk menjalankan soal siasat

"Jika saya mendiamkan diri dia telah mengatakan saya tidak beradab. Saya tidak tahan mendengar kata-kata kutukan beliau lalu bertindak untuk keluar daripada bilik tersebut tetapi ditahan oleh dua orang rakannya. Mereka menahan dengan memegang saya serta merentap baju saya sehingga koyak," menurutnya lagi.

Khalila merasakan kekasaran yang dilakukan ini mengganggu fikiran serta mengganggu konsentrasi pembelajaran beliau memandangkan beliau merupakan pelajar tahun pertama di kampus tertua itu.

Sementara itu di kampus yang sama, pelajar tahun ketiga Fakulti Kejuruteraan Pembuatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Mohd Hilman Mohd Nordin telah dirampas barang-barang peribadi, komputer riba dan kamera.

Kejadian tersebut berlaku pada 12.15 tengah malam 5 September, selepas di tahan oleh Pengetua Kolej Kediaman Kedua Prof. Dr. M Rajantheran tanpa diberikan sebab.

Ujarnya, semasa kejadian tersebut berlaku beliau diziarahi oleh rakan beliau, Taufiq, dan secara tiba-tiba Penyelia Kolej iaitu Mahaghanapati mengetuk pintu bilik dan memasuki bilik bersama beberapa orang lagi.

"Kemudian Mahaghanapati telah menghubungi Pengetua Kolej Kediaman Kedua Prof. Dr. M Rajantheran yang tiba sejurus selepas itu. Beliau juga telah memanggil maka wakil Jabatan keselamatan untuk datang ke bilik saya," demikian menurut aduan tersebut.

"Saya ditahan dengan alasan saya telah membawa masuk pelajar luar ke dalam kawasan kolej kediaman.Barang-barang saya juga dirampas iaitu laptop dan camera. Kemudian saya dibawa ke pejabat keselamatan bersama rakan saya Taufiq bagi membuat siasatan lanjutan," menurutnya lagi.

Semasa beliau saya di soal siasat oleh Pegawai Keselamatam, Muzakir pada jam 12.30 tengah malam di pejabat keselamatan, kad pengenalan bersama dan rakannya diambil untuk dibuat salinan.

Hilman turut diminta memberikan kata laluan atau password bagi membuka laptop tetapi beliau enggan, yang menyebabkan pihak keselamatan meminta juruteknik bertindak memecahkan kod laluan bagi membuka laptop tersebut.

"Kemudian rakan-rakan telah datang dan kekecohan telah berlaku. Seterusnya saya telah di soal siasat berasingan," jelas laporan tersebut.

Beliau menyatakan bahawa penahanan tersebut adalah tidak berasas berdasarkan Perkara 28 (1) Bahagian III Tatatertib Asrama yang di nyatakan dalam Buku Panduan Mahasiswa “Tiada seorang pun boleh memasuki sesuatu bilik di dalam asrama yang diduduki oleh seseorang pelajar menetap kecuali pelajar menetap itu sendiri” demikian menurutnya lagi.



Wednesday, September 19, 2007

Oleh: Al-Bakistani


TARAWIH : 8 RAKAAT ATAU 20 RAKAAT


Isu berkenaan dengan bilangan rakaat bagi solat tarawih adalah perkara khilafiyyah yang sering diperdebatkan dikalangan “ustaz-ustaz kampong” dikala kedatangan Ramadhan yang mulia.

Perbincangan berkenaan dengan perkara khilafiyyah ini sudah lama berlaku, tetapi di panaskan perdebatannya dikalangan umat. memelikkan perdebatan sebegini dibesar-besarkan, sedangkan dalam masa yang sama, ramai manusia yang tidak menunaikan solat, yang selalunya menimpa kepada budak-budak muda, bahkan ianya menimpa juga kepada “budak-budak tua”.

Walaubagaimanapun, aku tetap mengambil jalan tengah dalam menyatakan bahawa, bilangan rakaat dalam solat tarawih adalah perkara khilafiyyah dikalangan ulama.

Di sini, aku akan mengemukakan kedua-dua pendapat disertai hujjah dipihak masing-masing. Tujuannya adalah agar semua umat Islam dapat merasakan bahawa perkara khilafiyyah ini bukan bermakna pihak yang tidak berserasi dengan mereka itu tidak mempunyai dalil dan hujjah, bahkan kadangkala hujjah golongan yang menyanggahi mereka itu lebih bertepatan dengan kehendak hujjah dan dalil.

Walaubagaimanapun, aku tidak akan mentarjih salah satu dari kedua-dua pendapat ini disebabkan aku bukan manusia yang berkeahlian dalam mentarjih pendapat ulama-ulama yang hebat ini.

GOLONGAN 20 RAKAAT

Bagi golongan ini, mereka berpendapat bahawa, menunaikan solat tarawih dengan 20 rakaat adalah sunat muakkad. Mereka mendakwa, amalan ini dipelopori oleh Rasulullah SAW sendiri.

Dalil mereka adalah seperti berikut;

Hadis Yazid bin Ruman;

كان الناس يقومون في زمن عمر في رمضان بثلاث وعشرين ركعة
Maksudnya;“Manusia sentiasa mendirikan (solat tarawih) dalam bulan ramadhan
di zaman Omar sebanyak 23 rakaat[1]


Hadis Ibni Abbas;

أن النبي صلّى الله عليه وسلم كان يصلي في شهر رمضان عشرين ركعة
Maksudnya;“Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa menunaikan solat dalam bulan
Ramadhan sebanyak 20 rakaat[2]


Begitujuga dilihat kepada perbuatan Omar yang telah menghimpunkan manusia supaya menunaikan solat tarawih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ubai bin Kaab sebanyak 20 rakaat[3].

Dari hadis-hadis yang dinyatakan di atas, didapati bahawa, Baginda SAW beserta sahabat-sahabat menunaikan solat tarawih dengan bilangan 20 rakaat. Walaubagaimanapun, ulama fiqh ada menyatakan kadar bilangan solat tarawih seperti berikut;

a. kebanyakkan ulama menyatakan, berdasarkan kepada amalan Muhajirin dan Ansar, solat tarawih ditunaikan dengan bilangan 20 rakaat.
b. Di zaman Khalifah Omar Bin Abdul Aziz, solat tarawih di tunaikan dengan bilangan 36 rakaat tanpa disertai solat witir. Pendapat ini diamalkan oleh ahli Madinah qadim[4].

GOLONGAN 8 RAKAAT

Golongan ini mendakwa bahawa, Rasulullah SAW tidak pernah melebihi bilangan rakaat solat tarawih dari 11 rakaat.

Sandaran mereka dalah hadis seperti berikut;

عن أبي سلمة بن عبد الرحمن أنه سأل عائشة رضي الله عنها كيف كانت صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم في رمضان فقالت : ما كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة

Maksudnya;
“daripada Abi Salamah bin Abd Ar-Rahman, sesungguhnya dia bertanya Aisyah RHa; bagaimanakah solat Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan? Menjawab Aisyah RHa; Rasulullah SAW tidak pernah melebihkan dari 11 rakaat dalam bulan Ramadhan dan yang lain darinya[5]

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam muslim dan Ibnu Abi Syaibah:

كانت صلاته في شهر رمضان وغيره ثلاث عشر ركعة بالليل منها ركعتا الفجر
Maksudnya;“Solat (nabi SAW) didalam bulan Ramadhan dan lainnya pada waktu malam adalah 13 rakaat. 2 rakaat daripadanya (yakni daripada 13 rakaat) tersebut adalah solat fajar[6]


Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lainnya;

عن جابر بن عبد الله رضي الله عنه قال : صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في شهر رمضان ثمان ركعات وأوتر فلما كانت القابلة اجتمعنا في المسجد ورجونا أن يخرج فلم نزل فيه حتى أصبحنا ثم دخلنا فقلنا يا رسول الله اجتمعنا البارحة في المسجد ورجونا أن تصلي بنا فقال : إني خشيت أن يكتب عليكم

Maksudnya;
“daripada Jabir bin Abdillah RA berkata; Rasulullah SAW solat bersama kami dalam bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat dan juga melakukan witir. Ketika kedatangan hari selanjutnya, kami berhimpun dalam masjid dan kami berharap agar Baginda SAW keluar (untuk menunaikan solat tarawih). Didapati Nabi SAW tidak keluar hinggalah kami berpagi-pagi berjumpa dengan Nabi SAW lalu kami berkata; Ya Rasulullah SAW, kami berhimpun semalam didalam masjid, dan kami berharap agar kamu solat solat bersama kami. Lalu bersabda Nabi SAW; sesungguhnya aku bimbang (solat tarawihh itu) diwajibkan keatas kamu[7]

Dari beberapa hadis yang dinukilkan, didapati bahawa, perbuatan Rasulullah SAW menunaikan solat ramadhan adalah tidak melebihi dari 11 rakaat. Ianya memberi maksud, 8 rakaat untuk solat tarawih dan 3 rakaat berbaki adalah solat witir.

PENUTUP

Diperhatikan kepada kedua-dua golongan ini didapati bahawa kesemua mereka mempunyai hujjah masing-masing.

Maka dengan demikian, tidak perlu diperdebat panjang dalam isu ini. Barangsiapa yang ingin melakukan 8 rakaat, maka silakan. Dan begitujuga, dipersilakan bagi mereka yang ingin melakukan solat tarawih dengan 20 rakaat.

Apa yang lebih penting untuk diperdebatkan adalah, bagaimana hendak mengajak dan berusaha untuk mengajak mereka yang tidak menunaikan solat tarawih disamping meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT agar mereka menunaikan tuntutan Ilahi ini.

Sekian
Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/
email : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Muwatta’ Imam Malik : 1/342 : hadis no : 233.
[2] Musannif Ibni Ibni Syaibah : 2/285 : hadis no : 227 (1).
[3] Musannif Ibni Abi Syaibah : 2/285 : hadis no : 227 (5) hadis ini dinyatakan oleh Syaikh Albani sebagai hadis doif Jiddan yang tidak boleh dijadikan hujjah (lihat kitab “Solat At-tarawih” : 1/22). Menyatakan hadis ini sebagai doif jiddan juga adalah Imam As-Sayuti didalam kitabnya “Al-Hawi li Al-Fatawa dengan alasan, dalam hadis ini terdapat Abu Syaibah Ibrahim bin Osman yang dilihat oleh Al-Hafiz sebagai “متروك الحديث” lihat Al-Hawi lil Al-Fatawa : 2/73”.
[4] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 2/251.
[5] Muwatta’ Imam Malik : 1/355 : hadis no : 243.
[6] Sunan Al-Kubra lil Baihaqi : 3/7
[7] Al-Mu’jam As-Saghir Li At-Tabarani : 2/127 : hadis no : 526.

Tuesday, September 18, 2007


Pilihan raya kampus: Laptop siswa dirampas, bilik digeledah, notis ugutan!

KUALA LUMPUR, 17 Sept - Demam Pilihan raya kampus (PRK) kini terus melanda mahasiswa dengan beberapa tindakan agresif yang didakwa mula dimainkan oleh pihak bahagian Hal Ehwal Pelajar serta kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Aspirasi.

Terbaru di Universiti Putra Malaysia (UPM), beberapa insiden yang melibatkan mahasiswa pro-Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB) yang menentang Aspirasi.

ImageMenurut wakil BMB yang mengedarkan risalah insiden-insiden yang didakwa berlaku di kampus UPM,salah seorang mahasiswa mangsanya adalah Yee Yang Yang yang telah dirampas komputer riba, telefon bimbit, pendrive serta beberapa dokumen-dokumen penting.

Antara keterangan risalah yang diedarkan menyebut bahawa; kejadian tersebut didakwa dilakukan semasa satu sesi soal siasat yang dijalankan terhadap Yee Yang selama dua jam selepas dipanggil masuk ke bilik mesyuarat Kolej 13 oleh Pengetua dan

Felo kolej, Mohd Fakhrurazi Mustapha serta tiga orang yang tidak dikenali selepas perjumpaan bersama pengetua kolej 13 berhubung kes kehilangan telefon bimbit.

Anehnya, semasa soal siasat tersebut, beliau telah disoal tentang Persatuan Bahasa Tionhua, BMB serta risalah-risalah berkaitan PRK.

Setelah itu, Yee Yang telah menghubungi Pengarah Jabatan Keselamatan, Mejar Othman Jailani yang mengesahkan bahawa tiada sebarang operasi dijalankan pada malam tersebut.

Risalah tersebut juga menyatakan bahawa pada keesokan harinya, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Serdang.

ImageNamun, setelah polis berhubung dengan pihak keselamatan, mereka mengesahkan bahawa ketiga-tiga orang yang tidak dikenali itu ialah pihak Unit Tugas Khas (UTK) dan laporan polis hanya dibuat sekiranya UTK enggan memulangkan semula barang-barang yang dirampas.

Kemudian mereka telah pergi ke Jabatan Keselamatan tetapi pihak UTK tidak mahu melayan aduan mereka. Akhirnya, pihak UTK mengeluarkan satu surat mengesahkan rampasan terhadap barang-barang milik Yee Yang.

Sementara itu, bilik Pengerusi BMB, Mohd Taufiq Mahmud juga telah dijadikan mangsa oleh Pengetua dan Pegawai HEP pada 13 September sehinggakan motosikal beliau telah dikunci pada keesokkan harinya.

Selain itu, risalah tersebut juga mendakwa terdapat juga insiden yang membabitkan motosikal mahasiswa yang disabotaj serta diletakkan notis ugutan supaya tidak terlibat dalam PRK.

Pilihan Raya Kampus, siswa UM diugut!

Intan Abdullah
Tue | Sep 18, 07 | 12:52:14 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Sept - Meskipun tarikh sebenar pilihan raya kampus belum diketahui lagi, namun perang psikologi antara puak yang bertentangan dalam kampus sudah mula berlaku.


Malah gendang pilihan raya kampus yang belum lagi dipalu itu telahpun meniupkan api perjuangan di kalangan kumpulan-kumpulan mahasiswa yang dikenalpasti akan bertanding.

Perkembangan di kampus mendapati, belum pun tarikh pilihan raya diumumkan namun seluruh jentera baik di pihak aspirasi mahupun pro mahasiswa sudah mula memainkan peranan masing-masing.

Di Universiti Malaya, beberapa penyokong kumpulan yang digelar pro-mahasiswa(lawan kepada kumpulan Aspirasi) telah mula menerima SMS berbentuk ugutan.

Menurut sumber, selain siswa Mohd Shahir Abd Aziz, ada di kalangan siswi turut menerima ugutan sedemikian.

Antara kandungan SMS tersebut ialah, " WOI MANGKUK .APESAL KO BELAGAK SGT, POYO LA..MUKA DAH LA TAK HENSEM..MENCAPUB PLAK 2,NK PESAN KO DLM BAHAYA,.TGU MASA JA NK MAMPUS."..pengirim 01&#******

Mohd Shahir yang merasakan diri terancam telah membuat laporan polis berkenaan ugutan tersebut di Balai Polis Pantai Permai dan membuat keterangan susulan di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Brickfields.

Menurut Mohd Shahir, tujuan beliau membuat laporan ini adalah untuk memastikan keselamatan dirinya terjamin.

Sebelum ini, kejadian ugutan melalui sabotaj kenderaan mahasiswa telah berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ada juga mahasiswa ang digeledah bilik mereka, laptop dan barang-barang milik peribadi mereka dirampas oleh pihak Unit Tindakan Khas (bukan pegawai keselamatan universiti).

Walau bagaimanapun, sehingga kini notis pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar masih belum kelihatan di mana-mana kampus sebagai indikator awal bermulanya perang pilihan raya kampus.

Tuesday, September 11, 2007



Anak kecil ke tadika gereja, ke mana perginya JAIM!!!?


JASIN, 11 Sept (Hrkh) - Segelintir ibu bapa Islam yang kurang sensitif mengenai persoalan akidah dikesan menghantar anak mereka belajar di tadika yang dikelolakan oleh pihak gereja amat membimbangkan penduduk setempat.


Persoalannya mengapakah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) tidak memantau dan bertindak bagi menyelamatkan akidah kanak-kanak yang berumur antara 5 dan 6 tahun itu? Sedangkan perkara ini didakwa telah berlaku sekian lama.


Menurut Ketua Dewan Ulama PAS Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana anak- anak amat penting dididik dengan persoalan tauhid.


"Usia kecil merupakan tahap usia yang penting kerana apa yang ditanamkan pada ketika ini akan memberi kesan kepada proses pembentukan diri dan peribadi mereka menurut pakar psikologi.


"Islam menekankan kepada ibu bapa agar meletakkan persoalan tauhid anak-anak sebagai perkara asas dalam kehidupan, kita mesti jauhkan mereka dari perkara syirik," ujar beliau.


Beliau berkata, apabila didedahkan kepada mereka perkara syirik sejak usia kecil lagi, ia akan menjadi 'alah bisa tegal biasa' dan akan beri kesan yang buruk kepada mereka apabila besar kelak seterusnya memudahkan berlakunya gejala murtad.


Selanjutnya, beliau menggesa kepada ibu bapa yang kurang sensitif itu agar memberhentikan anak mereka dari tadika tersebut kerana banyak tadika lain yang lebih sesuai seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).


Menurut Ketua Pemuda PAS Jasin, Aminuddin Jalil, bahawa tindakan itu dilakukan akibat dari kejahilan ibu bapa itu sendiri dan tidak peka dengan persoalan akidah Islam.


"Mereka beranggapan dengan menghantar anak mereka ke tadika kelolaan gereja, anak mereka akan pandai berbahasa Inggeris, bagi menyahut seruan kerajaan yang mengarahkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.


"Mereka sebenarnya sanggup mengorbankan akidah anak sendiri, sedangkan banyak lagi Tadika Islam seperti Pasti yang berkemampuan memberikan pendidikan yang terbaik," katanya.


Harakahdaily dalam tinjauan yang dilakukan mendapati, tadika kelolaan Gereja Methodist Merlimau itu terletak di Pekan Merlimau dan ditadbir oleh pihak gereja dan kanak- kanak itu belajar di dalam bangunan gereja.


Melebihi dari 10 orang kanak-kanak Melayu Islam yang dilihat belajar di situ dan dihantar oleh ibu mereka yang memakai tudung setiap hari tanpa sedikit pun berasa bersalah keluar masuk di kawasan gereja.


Sebelah tengahari pula kita boleh lihat ibu-ibu yang bertudung ini duduk bersembang di depan pintu gereja sambil menunggu anak mereka pulang.

Sunday, September 9, 2007


Apakah malang nasib rakyat ? Ada di antaranya yang kekurangan wang dan sumber pendapatan. Peruntukan RM 27500.00 pula yang telah ditagih oleh Badan Perhubungan Negeri Selangor, Kelab UMNO Kaherah. Dana yang diminta sempena lawatan rasmi menteri besar Selangor, Dato’ Dr. Mohamad Khir bin Toyo bukan satu lagi omongan kosong.

Lawatan menteri besar tersebut yang dijangkakan tiba ke Mesir di awal bulan september 2007 ini, telah dijadikan sebagai platform awal bagi memperkenalkan figura-figura UMNO untuk menjayakan agenda imperialis UMNO di kampus antarabangsa. Lantaran itu, kesatuan anak-anak Melayu di Mesir terus dicemari dengan kewujudan proksi-proksi UMNO yang menjadi pressure group, menghasut khalayak mahasiswa al Azhar untuk diinjak oleh politik penguasa.

Melihat kepada senario yang berlaku kepada situasi mahasiswa Selangor khususnya, pihak pegawai negeri yang dilantik lebih terbuka untuk membiarkan mahasiswa al Azhar diperalatkan oleh Kelab UMNO di Mesir. Aktiviti persatuan anak Selangor, kerap kali dibelenggu oleh kongkongan pegawai sehingga mereka tidak berupaya merencanakan program dengan baik.

Penulis menyaksikan sendiri sikap tidak professional pegawai yang boleh dianggap sebagai kebudak-budakan, malah diberitakan beliau pernah melakukan ugutan agar usaha kebajikan anak Selangor diserahkan kepada Kelab UMNO jika tuntutannya tidak dipenuhi.

Ideologi politik kepartian yang dibawa oleh Kelab UMNO inilah merupakan punca kepada keretakan ukhuwwah sesama mahasiswa di Mesir. Selama ini anak-anak Selangor yang sedang belajar mahupun yang akan tiba di Mesir, sering bergelut dengan sisa-sisa ekstrem seperti ugutan dermasiswa zakat dipotong, dibuang dari hostel dan sebagainya.

Sedangkan, Kelab UMNO yang wujud tidak ubah (resemblance is undeniable) seperti personaliti Haman yang cukup popular disebut dalam al Quran sebagai pengadu domba kepada cara kerajaan. Sikap paranoid dan.hipokrit (bermuka-muka) memang layaknya ditabalkan kepada pertubuhan Kelab UMNO kerana kerap kali fitnah dilontarkan kepada mahasiswa Selangor sebagai agen kepada ahli pembangkang semahu-mahunya di muka penguasa.Peruntukan untuk menaja Badan Perhubungan Kelab UMNO Kaherah juga boleh menimbulkan pelbagai andaian, dari mana datangnya duit sebanyak itu ? Barangkali duit yang diperuntukan kepada Kelab UMNO tersebut merupakan wang zakat yang sepatutnya diagih-agihkan kepada mahasiswa Selangor.

Untuk pengetahuan pembaca, masih ada di antara anak-anak jagaan negeri Selangor sendiri yang tidak mendapat bantuan dermasiswa daripada Pusat Zakat Selangor sekalipun mereka berhak untuk menerimanya. Anak-anak Selangor yang menjadi mangsa eksperimen ini akhirnya memilih hidup sebagai setinggan, menumpang belas ehsan teman-teman di apartmen yang disewa sekalipun suasana tersebut membuatkan kehidupan belajar tidak selesa.

Sebenarnya, kewujudan Kelab UMNO di Mesir secara tidak langsung telah menyuburkan amalan neofeudalisme (sikap taat setia membabi buta terhadap penguasa) di kalangan agamawan. Zaman feudal di Eropah satu ketika dahulu, penguasa merupakan entiti yang tidak boleh ditentang dan dipertikai oleh rakyat jelata walaupun terdapat bukti penipuan yang dilakukan oleh mereka.

Mereka tidak sedar bahawa perjuangan yang mereka bawa adalah perjuangan yang tidak memiliki idealisme tersendiri, dikongkong untuk menurut segala arahan parti pemerintah walaupun dalam perkara yang batil. Anda rasa tuduhan ini bersifat ultra ? Memang penulis selama-lamanya tidak akan bersimpati kepada UMNO selagi mereka menjadi parti dominan bertindak menindas kepada mana-mana ideologi yang lebih tegar berbanding mereka.

Recruitment kepada sebuah parti untuk mendapatkan pelapis kepada agenda politik adalah mengikut laras-laras 'pengasuhnya'. Secara jelas, UMNO sebenarnya telah berjaya membunuh maruah mahasiswa al Azhar menjadi manusia bertaraf "spoon feed" kepada misi mereka. Hal ini turut menyungguhkan dakwaan penulis bahawa UMNO telah merekrut mahasiswa dengan hanya mencipta ruang-ruang murahan dan dana yang begitu tinggi untuk mengekalkan kuasa politiknya di Malaysia.

Tidak dinafikan bahawa keterlibatan mahasiswa al Azhar merupakan strategi UMNO, kerana mereka merupakan grand design kepada hala tuju masyarakat beragama Islam. Secara tidak langsung ia telah menjadi bom yang memusnahkan hujah dan akal budi mahasiswa al Azhar.Sila lihat lampiran ini;



Catatan ini, setidak-tidaknya boleh menjadi cermin wajah jujur Kelab UMNO di Mesir yang begitu serius merealisasikan perjuangan kepartian politik pemerintah di bumi perantauan ini.

Lihat sahaja lampiran-lampiran yang saya kepilkan bersama di dalam perenggan ini. Objektif yang dirangka oleh mereka sebenarnya hanya merupakan carut-marut matlamat di sebalik sikap mereka yang lebih mementingkan diri sendiri menunggu duit free hasil titik peluh rakyat Malaysia.

Jumlah donasi yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan masyarakat, telah dijadikan bahan dagangan politik untuk mencandu minda mahasiswa-mahasiswa lain supaya tunduk menjadi bahan UMNO. Sekiranya institusi ilmu ini dicemari oleh anasir-anasir yang tidak sihat seperti campurtangan parti politik dan habuan wang seperti yang diterima oleh Kelab UMNO di Mesir ini, ia sekaligus memberikan nama buruk terhadap kredibiliti mahasiswa lebih-lebih lagi lepasan daripada al Azhar.


Kecantikan Orang Yang Beriman

Kecantikkan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani

Lelaki yang cantik.....................

Adalah lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan,

Adalah lelaki yang sedia menerima segala teguran,

Adalah lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun,

Adalah lelaki yang tenang dan lapang dada,

Adalah lelaki yang baik sangka dan,

Adalah lelaki yang tak pernah putus asa.

Kecantikkkan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati Seluruh kecantikan yang ada pada Muhammad yang ummi Adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.


Kegagahan Wanita Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan,

Perempuan yang gagah.................

Adalah perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan,

Adalah perempuan yang tidak takut pada kemiskinan,

Adalah perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan,

Adalah perempuan yang tidak meminta-minta agar di penuhi segala keinginan,

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman,

Seluruh kegagahan ini ada pada Khatijah yang ehsan.

Adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan... ...


BAHAYA PENYIMPANGAN PADA AQIDAH


Penyimpangan pada aqidah yang dialami oleh segelintir masyarakat menyebabkan seluruh kehidupan mereka tidak menentu, bukan saja di dunia tetapi berlanjutan sebagai kesengsaraan yang tidak berkesudahan di akhirat kelak. Mereka akan berjalan tanpa arah yang jelas dan penuh dengan keraguan dan menjadi peribadi yang berpenyakit. Biasanya penyimpangan itu disebabkan oleh beberapa faktor antaranya :


1. Tidak memahami aqidah yang benar kerana kurangnya ke majlis ilmu serta kurang mengambil berat tentang ilmu agama. Akibatnya mereka akan berpaling dan sentiasa menyalahi bahkan menentang aqidah yang benar.


2. Fanatik kepada peninggalan adat dan keturunan. Kerana itu dia menolak aqidah yang benar. Seperti firman Allah Subhanahu WaTaala tentang umat terdahulu yang keberatan menerima aqidah yang dibawa oleh para Nabi dalam Surah Al-Baqarah, ayat 170 yang ertinya : "Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami." (Apabila mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk."


3. Taklid membuta tuli kepada perkataan tokoh-tokoh yang dihormati tanpa melalui pemilihan yang tepat sesuai dengan ajaran Al-Qur'an dan Sunnah. Sehingga apabila tokoh ajarannya sesat, maka ia ikut tersesat.


4. Berlebihan (ekstrim) dalam mencintai dan mengangkat para wali dan orang soleh yang sudah meninggal dunia, sehingga menempatkan mereka setara dengan Tuhan, atau dapat berbuat seperti perbuatan Tuhan. Hal itu karena menganggap mereka sebagai penghubung antara dia dengan Allah. Kuburan-kuburan mereka dijadikan tempat meminta, bernazar dan pelbagai ibadah yang seharusnya hanya ditujukan kepada Allah. Perkara ini pernah dilakukan oleh kaum Nabi Nuh Alaihis Salam ketika mereka mengagungkan kuburan para solihin. Surah Nuh 23 yang ertinya : "Dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan penyembahan) Wadd, dan jangan pula Suwa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr."


5. Dipengaruhi idealisma (ajaran) Barat yang materialistik (kebendaan) itu. Ramai yang mengagungkan para pemikir dan ilmuan Barat serta hasil teknologi yang telah dicapainya sekaligus menerima tingkah laku dan kebudayaan mereka.


6. Pendidikan di dalam rumah tangga, banyak yang tidak berdasar ajaran Islam, sehingga anak membesar dalam keadaan tidak mengenal aqidah Islam. Pada hal Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan yang artinya : "Setiap anak yang dilahirkan adalah secara fitrah (suci), maka kedua orang tuanya yang meyahudikannya, menashranikannya, atau memajusikannya" (HR: Bukhari). Apabila anak terlepas dari bimbingan orang tua, maka anak akan dipengaruhi oleh program televisyen yang menyimpang, dan yang seangkatan dengannya.


7. Sistem pendidikan yang ada tidak memberikan tumpuan yang cukup dalam pembinaan keagamaan seseorang. Bayangkan, apa yang mampu diperolehi dari 2 jam seminggu dalam pelajaran agama, itupun dengan informasi yang kering. Ditambah lagi media massa baik yang bercetak maupun elektronik banyak yang tidak mendidik ke arah aqidah bahkan menyiarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah.


INSAFILAH…