Wednesday, December 12, 2007

Laksana pemerintahan berasaskan syariat Islam
- Dewan Ulama
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2006 (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu melakukan perubahan dalam pentadbirannya mengikut tuntutan agama Islam supaya selari dengan latar belakang beliau daripada golongan yang berfahaman tinggi dalam Islam.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Badaruzaman Mohd Yusuf berkata, rakyat menaruh harapan tinggi ketika beliau mula-mula menerajui negara supaya dapat melaksanakan pentadbiran berlandaskan peraturan yang tercatat dalam al-Quran.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu tidak berlaku dan perkara itu akan membuatkan rakyat tidak mempercayai kewibawaan Abdullah bukan sahaja dalam hal pentadbiran tetapi berkaitan dengan agama Islam.

"Jika Abdullah tidak bersedia membuat perubahan dalam pelaksanaan dasar negara, PAS akan berusaha untuk mengambil alih tampuk kepimpinan itu terutama di beberapa buah negeri," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas sikap pimpinan Umno yang menerajui negara sehingga 50 tahun katanya, umur matang bagi manusia itu 40 tahun dan Malaysia akan menyambut kemerdekaan kali yang ke-50.

Ini bererti tambah beliau, Malaysia sudah melepasi 10 tahun umur matang sepatutnya lepas 40 tahun banyak perubahan yang telah dilakukan ke arah kebaikan atau sekurang-kurangnya ada perubahan daripada apa yang berlaku sebelum itu.

Beliau berkata, tetapi apa yang berlaku di negara ini semakin tua semakin banyak masalah yang tidak dapat diatasi dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, ketika Tengku Abdul Rahman menerajui negara beliau mendakwa Islam tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk manakala era Tun Mahathir Mohamad, beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.

"Tetapi apabila era Abdullah negara kembali ke wajah baru iaitu jauh daripada ajaran Islam dan mencampuradukkan unsur-unsur dalam pentadbirannya," tegas beliau.

Kata beliau, apa yang berlaku dalam pentadbiran negara sekarang ia mengambil contoh pelaksanaan yang diamalkan oleh negara Barat yang jelas bukan sahaja tidak sesuai dengan umat Islam tetapi masyarakat Timur.

Sehubungan itu, Dewan Ulama berharap Abdullah perlu melakukan perubahan ke arah kebaikan sempena 50 tahun merdeka supaya kembali kepada asas yang telah dibina dan perlu berusaha menegakkan kebenaran serta keadilan berasaskan ajaran Islam dan jati diri masyarakat tempatan.
Dewan Ulama PAS
minta umat Islam boikot majalah Al-Islam
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2006 (Hrkh) - Dewan Ulama PAS Pusat menyeru umat Islam bangkit dan menentang kenyataan yang dikeluarkan majalah Al-Islam dalam tajuk 'Ulama jangan merapu' dalam sesi keluaran bulan Ogos.

Setiausahanya, Dr Badaruzaman Md Yusuf berharap majalah itu diboikot kerana isi kandungannya kali ini mengandungi unsur yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
"Kita berharap pihak berwajib termasuk Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil perhatian terhadap perkara tersebut bagi mengelakkan perpecahan di kalangan umat Islam berhubung krisis kepimpinan ulama.

Menurut beliau, tajuk tersebut amat menghina institusi ulama terutamanya para mufti kerana isi kandungan itu berhubung dengan keputusan muzakarah ulama mengenai kongsi raya.
"Kita menentang dakwaan yang disiarkan dalam tajuk `Ulama jangan merapu' kerana alasan penulis terlibat amat rendah nilainya dan ia hanya bergantung kepada pandangan orang tertentu sahaja," katanya.

Beliau berkata, istilah merapu itu membawa makna yang sangat negatif dan mereka meletakkan status ulama itu seolah-olah sama dengan orang yang duduk di Hospital Tampoi atau Tanjung Rambutan (institusi menempatkan pesakit jiwa).

Menurut beliau, orang Islam sekarang jahil dan tidak lagi memberi kepercayaan kepada ulama khususnya dalam hal yang berkaitan dengan agama.

Katanya, ulama orang yang paling layak menyelesaikan apa sahaja masalah berkaitan agama tetapi senario hari ini mereka hanya diletakkan dalam sudut tertentu dalam suatu majlis kebesaran negara.

Beliau berkata umat Islam hari ini bukan sahaja menolak ulama tetapi lebih berani menghina mereka dan itu merupakan salah satu tanda akan berlakunya kiamat.