Friday, June 6, 2008



JAMBORI AMAL MALAYSIA
Peringkat Kebangsaan bagi kali yang ke 16 .

Pemandangan dari sudut Masjid Kuala Kangsar. Cukup indah dan gah sehebat namanya AMAL.
Alhamdulillah , penyertaan Kontijen AMAL negeri telah berjaya mencipta rekod baru Jambori , apabila kini ianya disertai lebih 2350 orang dan setakat berita semalam , Pahang telah berjaya menghantar peserta yang paling ramai ( 303 ).orang .


Dewan Pemuda PAS Pusat merakamkan sejambak tahniah buat AMAL kerana berjaya dengan cemerlangnya memainkan peranan sebagai badan beruniform sekaligus mengangkat nama Gerakan Islam di hati masyarakat.


Kegigihan kalian dengan slogan al Amalulillah turun ke padang membantu masyarakat yang memerlukan menjadi jambatan penting bagi Gerakan Islam yang kita dokong hari ini dengan masyarakat umum . Sekurang - kurang persepsi negatif yang sering dilontarkan kepada Gerakan Islam ini dapat di perbetulkan.


Namun begitu , segala prestasi yang dicapai dan potensi yang dimiliki tidak meletakkan Jabatan AMAL berasa puas dan memadai , sebaliknya pertingkatkan lagi segala pencapaian dengan menguasai semua lapangan AMAL . Khasnya Amal Fardi , amal Ijtimaei dan Amal Jamaei .


Setiap individu anggota AMAL juga dinasihatkan agar memberi fokus dalam pembinaan syakhsiyyah ( jati diri ) , fikrah dan aqidah yang sohih justeru ini adalah syarat pelengkap sebagai anggota atau amilin Gerakan Islam .

Seindah uniform , pastikan akhlak kalian jua indah dipandang dan sehebat batalion , pastikan amal ibadah kalian jua hebat dinilai .

Syarat Menang Mesti BerjuangTetapi
Berjuang Tidak Syarat Menang.

Kemenangan adalah cita – cita setiap orang walau apa jua bidang yang diceburinya. Tentu sahaja tiada siapa yang normal keadaannya berasa selesa apabila mengalami kekalahan. Sukan sebagai contoh , apapun kategori pertandingannya termasuk perlawanan persahabatan pasti sahaja kemenangan menjadi buruan. Namun kemenangan tersebut hanya menjadi impian yang tidak kesampaian jika ianya tidak melalui satu proses kerja keras , latihan gigih dan pengorbanan yang tinggi .

Demikianlah perjuangan ini . Kesucian matlamat dan ketinggian hasratnya sangat memerlukan kemenangan sebagai sebuah pengiktirafan , tetapi kekecewaan pasti diwarisi malah matlamat dan hasrat yang ingin dicapai hancur lebur tanpa pengorbanan dan daya juang yang kental.
Pastinya hukum untuk meraih kemenangan ialah berjuang dan berkorban .
Bagi perjuangan Islam , kemenangan adalah untuk mendaulatkan syariat Ilahi dan sekurang – kurangnya berjaya mengekang pertumbuhan maksiat dan mungkar .

Justeru itu , setiap individu muslim wajib berjuang ke arah mencapai matlamat tersebut. Sikap berpeluk tubuh , lemah tahap kepeduliannya serta gagal menempatkan diri ke tengah medan juang mengundang hampa buat perjuangan suci ini .

Mana mungkin kemenangan dapat ditempa tanpa pejuang yang gigih berjuang dan sanggup berkorban .

Kalau ditanya kepada semua orang khasnya anggota jamaah , saya percaya bahawa semua mengimpikan kemenangan. Cuma apa yang menyedihkan ialah mereka bagai di awangan , bercakap tanpa sedar dan mengimpi tanpa memahami reality. Mereka sebenarnya masih berfantasi dengan kemenangan yang diimpi.

Sementara jamaah masih lompang di sana – sini menagih penyertaan anggotanya . Banyak tugas terabai lantaran kekurangan petugas yang sanggup melangsaikannya . Lambakan amanah tidak terurus kerana kelemahan dan kekurangan yang tidak tertampung . Lucunya dalam situasi begini , semua orang bercakap soal kemenangan termasuk anggota yang lesu dan naïf.

Nampaknya fenomena ini terus berkekalan hingga ke hari ini . Sementelah pula PAKATAN RAKYAT mencapai kemenangan besar dalam Pilihanraya umum baru – baru ini. Sedikit sebanyak tugas asas jamaah telah berpindah menjadi tugas rasmi kerajaan yang dimenangi.
Saya tidak bersikap prejudis terhadap kemenangan tersebut malah saya sangat memahami factor kemenangan dan ruang atau peluang yang boleh kita manafaatkan dari kemenangan itu, tetapi saya perlu menegaskan bahawa kemenangan ini masih belum menjadi milik penuh jamaah .

Masih terlalu jauh perjalanan kita untuk mencapai kemenangan dalam erti nilai yang sebenar , iaitu kejayaan dan keupayaan kita mendaulatkan syariat Ilahi . Pun begitu sangat diakui bahawa kemenangan PAKATAN hari ini menjadi pemecah kepada segala kebuntuan politik untuk memulakan gerakan merintis jalan besar ke gerbang Putrajaya .

Apa yang saya timbulkan ini ialah untuk memastikan kita tidak cepat berpuas hati dengan apa yang kita miliki hari ini dan meletakkan kita begitu teruja dengan pencapaian sedang kita masih terlalu jauh dari target yang ingin kita capai melewati perjuangan Islam yang suci ini .

Perjuangan mesti terus digiatkan dengan kesungguhan yang tiada tara dan pengorbanan yang tiada banding kalau kita mahu mencapai kemenangan yang benar buat perjuangan ini.
Aktiviti teras dan dasar sifatnya bagi sebuah gerakan Islam mesti diaktif dan digerakkan tanpa henti walau apa jua musim yang direntas. Sebelum atau selepas pilihanraya , kalah atau menang dan sendirian atau dalam pakatan , aktiviti – aktiviti yang bersifat dasar dan teras seperti tarbiyyah mingguan melalui usrah atau pembinaan fikrah dan pengkaderan jati diri pejuang seperti liqa’ fikri , mukhayyam , tamrin dan apa jua bentuk program yang membawa maksud serupa .

Sangat dikesali jika perjuangan sukar ini diurus dengan angan – angan dan ramalan politik yang jauh terhindar dari manhaj perlaksanaan amal Islami .
Saya mengharapkan semua anggota jamaah mengambil iktibar dari kegigihan pemimpin terdahulu yang telah mewaqafkan diri mereka untuk perjuangan . Berjuang tanpa penat menggalas beban amanah dan tanggungjawab kepimpinan serta berjuang tanpa gentar menghadapi ancaman , cabaran dan rintangan di sepanjang jalan dakwah , jauh kependalaman daerah perjuangan ini.

Nyata mereka lasak malah tabah mendepani segala tahaddiyat . Tidak tergugat dengan tawaran duniawi yang melekakan dan tidak pula menggadaikan prinsip perjuangan semata – mata ingin memenuhi cita – cita politik murahan malah tidak bermoral .

Kemenangan yang ingin dicapai ialah kemenangan tulen . Kemenangan yang ingin diraih ialah kemenangan hakiki . Kemenangan yang diburu ialah kemenangan sohih . Kemenangan ini tidak mungkin diperolehi dengan lampu ajaib aladin , tidak juga dengan percaturan politik cantas , tidak juga dengan berpeluk tubuh dan jauh sekali dengan tindakan yang menderhakai Allah Tuhan Rabbul Jalil .

Tegasnya , nak menang mesti berjuang , nak menang mesti berkorban , nak menang mesti berprinsip, nak menang mesti bermaruah , nak menang mesti tabah , nak menang mesti Istiqamah . nak menang mesti bijak dan nak menang mesti bertaqwa . Demikianlah syarat untuk menang .
Perjuangan tidak syarat Menang .

Perjuangan ini suci kerana dasar dan matlamatnya. Selama mana dasar dan matlamat ini dipertahankan maka selama itu perjuangan ini kekal kesuciannya. Kesucian perjuangan tidak dinilai melalui menang atau kalahnya di medan .

Mempertahan serta memperjuangkan Islam bahkan seluruh nilainya adalah suatu kewajipan dan tangunggjawab asas sebagai hamba. Justeru itu , tugas kita sebagai anggota jamaah yang juga merupakan seorang hamba ialah memastikan Islam diperjuang dan dipertahankan dalam apa jua keadaan berasaskan pedoman qurani dan manhaj an-nabawi.
Sebarang penyelewengan atau penyimpangan dari pedoman qurani dan manhaj nabawi , biarpun menghasilkan kemenangan besar adalah suatu kebathilan malah sifatnya sementara , palsu lagi dusta.

Tiada erti kita menang derhaka . Derhaka kepada Allah maksud saya , justeru berlaku perlecehan dan penyimpangan . Kemenangan adalah anugerah Ilahi kepada pejuang yang memelihara kesucian perjuangan , sementara kemenangan menjadi istidraj kepada pejuang yang hanya memburu kemenangan tanpa menghirau ketulenannya bahkan tidak juga mempedulikan keabsahan pedoman dan manhaj perjuangannya.

Ada pihak sanggup buat apa sahaja asal menang sedang perjuangan tidak syarat menang. Ini bermakna perjuangannya berasaskan kepentingan dan kepuasan individu. Asal tercapai cita – cita politik dan terlaksana agenda peribadinya , dia tergamak mengambil jalan salah dan melakukan tindakan terlarang menurut perspektif amal Islami .

Saya suka menegaskan di sini bahawa system nilai kita terhadap pencapaian dan kejayaan ialah merujuk kepada benar dan tepatnya pedoman yang diambil iaitu pedoman al qurani dan jelas serta sohihnya manhaj yang diikuti iaitu manhaj an nabawi .

Kita tidak merujuk kepada menang kalah di medan . Menang tidak bermakna benar dan kalah tidak bermaksud salah. Menang boleh jadi salah dan kalah boleh jadi benar . Menang kalah bukan system nilai yang baik dan tepat. Nilai tepat untuk mengetahui betul duduk kita bersama perjuangan ini samada benar atau salah ialah melalui system yang tetap dan kekal iaitu petunjuk wahyu Ilahi dan bimbingan sunnah Rasul saw.

Kesimpulannya.

Berjuang dan berkorbanlah bagi mencapai kemenangan , justeru kemenangan tersebut menjadi tapak kukuh bagi mendirikan daulah Islamiyyah . Namun kemenangan yang diburu tidak boleh dibiarkan menjadi asbab perlanggaran atau penyelewengan manhaj.